
Setiap kali memandu, maklumat persekitaran boleh membantu perjalanan anda.
Pengetahuan mengenai mekanisme kenderaan pula meningkatkan kefahaman anda cara pemanduan yang selamat.
Dengan maklumat dan kefahaman ini, anda boleh bertindak sebaik mungkin apabila menghadapi sesuatu situasi bahaya.
Berikut ialah tiga tip mudah yang mampu mengurangkan kemalangan jika anda mengamalkannya.
TIP 1 KURANGKAN BLIND SPOTS
Tujuan menyesuaikan cermin sisi dan belakang ialah supaya kita dapat melihat ke belakang, kiri dan kanan bahu tanpa perlu menolehkan kepala.
Bagaimanapun medan yang tidak kelihatan oleh mata kita (blind spots) masih tetap ada.
Justeru, untuk memastikan anda tidak mengalami masalah yang disebabkan oleh kelemahan blind sports, maka:
■ Periksa blind spots dengan menoleh ke kiri atau kanan sepintas lalu dari semasa ke semasa ketika memandu.
■ Elakkan berada di zon blind spots pemandu lain.
■ Pastikan pemandu lain dapat melihat anda iaitu jika anda dapat melihat mata pemandu lain melalui cermin sisi atau belakang kenderaan mereka, bermakna pemandu itu dapat melihat anda dan begitulah sebaliknya.

TIP 2 HINDARI DARIPADA DIREMPUH
Kemalangan bertindan yang membabitkan deretan kenderaan berlaku disebabkan kelewatan tindak balas kumulatif semua pemandu terbabit yang tidak sempat membrek.
Ia dapat dielakkan dengan:
■ Melihat sebanyak mungkin beberapa kenderaan di hadapan.
■ Menyentuh brek (tap) jika anda melihat lampu brek tiga atau empat kenderaan di hadapan menyala.
■ Menyentuh brek memberi amaran kepada pemandu di belakang supaya menjarakkan kenderaan mereka.
■ Lebih besar jarak antara kenderaan, lebih banyak masa untuk pemandu bertindak balas terhadap situasi bahaya
TIP 3 SEDIA HADAPI KEMUNGKINAN
Menjangka (anticipate) perkara yang akan berlaku ketika memandu dapat meningkatkan keselamatan. Oleh itu, pastikan anda:
■ Tumpukan perhatian hanya kepada memandu.
■ Memandu dengan zon jangkaan (anticipation zone) yang besar.
■ Pandang ke hadapan sejauh mungkin.
■ Luaskan medan penglihatan termasuk di sekeliling kereta.
■ Berwaspada dan tidak berkhayal.
Mempraktikkan tip mudah di atas dalam amalan pemanduan seharian, mampu meningkatkan keyakinan dan pengawalan.
Memberi perhatian terhadap maklumat ketika memandu adalah tindakan bijak untuk menjamin keselamatan anda dan penumpang yang dibawa.
Sumber : SPANCOPrihatin
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]