Putrajaya kekalkan insentif RM1,500 untuk peneroka Felda

Putrajaya kekalkan insentif RM1,500 untuk peneroka Felda

Menteri hal ehwal ekonomi berkata, keputusan itu dibuat selepas perdana menteri tidak bersetuju dengan cadangan Lembaga Pengarah Felda memotong insentif Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil kepada RM1,000.

Lembaga Pengarah Felda mencadangkan Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil kepada penerokanya dikurangkan daripada RM1,500 kepada RM1,000 sebulan berdasarkan kedudukan kewangannya yang sangat kritikal.
JEMPOL:
Kerajaan akan meneruskan pemberian insentif Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil kepada peneroka Felda pada kadar semasa RM1,500, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas Dr Mahathir Mohamad tidak bersetuju dengan cadangan pemotongan insentif itu kepada RM1,000 yang dikemukakan Lembaga Pengarah Felda.

“Keputusan (sebelum ini dicadangkan) oleh Lembaga Pengarah Felda dan mereka ini profesional serta berwibawa dan berpendapat pemotongan tersebut perlu dilakukan berikutan kedudukan kewangan Felda ketika itu yang amat kritikal.

“Namun, sebagai kerajaan yang peduli peneroka, saya telah mengambil maklum cadangan Lembaga Pengarah Felda dan bersama timbalan menteri (Mohd Radzi Md Jidin) bertemu perdana menteri sebanyak 4 kali sebelum kertas putih dibentangkan dan perdana menteri tidak bersetuju dengan cadangan pemotongan itu dalam keadaan ekonomi sekarang yang amat membebankan peneroka Felda,” katanya di sini, hari ini.

Beliau ditemui selepas meninjau projek perumahan generasi baru Felda di Palong 8 di sini, yang turut disertai Radzi, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Mohamad Rafie Ab Malek, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar, Ismail Ahmad dan Pengarah Besar Felda, Othman Omar.

Pada 28 Mac lalu, Lembaga Pengarah Felda mencadangkan Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil dikurangkan daripada RM1,500 kepada RM1,000 sebulan ekoran keadaan kewangan semasanya yang kritikal.

Mengulas lanjut, Azmin berkata, perdana menteri mengarahkan sejumlah wang disediakan kepada Felda agar Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil dikekalkan pada kadar sedia ada.

Sementara itu, beliau berkata, 5,000 unit perumahan generasi baru Felda di seluruh negara yang mencapai status pembinaan 70% dan ke atas akan disiapkan tahun ini membabitkan peruntukan RM250 juta.

“Bagi Negeri Sembilan, ia melibatkan 839 unit dengan peruntukan RM90 juta.”

Projek Bandar Malaysia

Mengenai keputusan kerajaan meneruskan projek Bandar Malaysia, Azmin berkata, projek itu tidak melibatkan peruntukan kerajaan, sebaliknya dipacu sektor swasta.

“Projek ini bukan saja pembangunan hartanah komersil dan kediaman, tetapi pembangunan strategik yang dapat menarik pelabur dari syarikat multinasional luar negara, khususnya dalam sektor kewangan. Kita mahu jadikan Malaysia hab kewangan di rantau ini.

“Kita berpegang kepada prinsip, ia mesti dilakukan dengan tender terbuka dan kita dapat maklumat antara sebab pentadbiran lama menamatkan perjanjian asal itu atas pertimbangan untuk dapat imbuhan ‘illegal’ (haram).”

Semalam, Mahathir mengumumkan kerajaan akan meneruskan projek Bandar Malaysia dengan anggaran nilai pembangunan kasar RM140 bilion, selepas ia diberhentikan secara tiba-tiba pada Mei 2017.

Terdahulu, Azmin yang dalam lawatan kerja sehari ke Negeri Sembilan menghadiri Program Rapat Perdana Peneroka Felda Raja Alias di Palong 8.

Dalam program itu, beliau menerangkan kepada peneroka mengenai kertas putih “Ke Arah Kelestarian Felda” yang dibentangkan di Dewan Rakyat 10 April lalu.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.