
Kementerian itu berkata, kerajaan perpaduan terus komited untuk memastikan kejayaan pelaksanaan pelan pemulihan Felda, termasuk melupuskan hutang peneroka seperti yang diumumkan sebelum ini.
“Sehubungan itu, kerajaan telah meluluskan jaminan kerajaan sehingga RM9.9 bilion untuk Felda menerbitkan sukuk,” katanya dalam kenyataan.
Pada Jumaat, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan terus mengeluarkan sehingga RM1 bilion sukuk untuk Felda setiap tahun bagi tempoh 10 tahun akan datang untuk “menjamin kelangsungannya”, satu inisiatif yang diperkenalkan oleh pentadbiran Muhyiddin Yassin pada 2021.
Bagaimanapun, Anwar berkata, pentadbiran Muhyiddin tidak pernah melaksanakan langkah itu walaupun mengumumkannya.
Pada Julai 2021, Muhyiddin mengumumkan bahawa pentadbirannya bersetuju untuk melupuskan hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion, tertakluk kepada syarat tertentu.
Anwar menegaskan bahawa tiada peruntukan bawah belanjawan pada 2021 dan 2022 untuk tujuan itu, dan beliau sendiri meluluskan program sedemikian.
Semalam, Muhyiddin di Facebook berkata, inisiatif itu dijalankan semasa beliau menjadi perdana menteri, seperti yang disahkan oleh menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam jawapan Parlimen pada 23 Feb.
“Namun, oleh kerana kekangan aliran tunai Felda, kerajaan PH-BN tidak dapat melaksanakan pelupusan hutang peneroka secara berterusan,” katanya.