Pasaran akan jatuh jika kadar sewa dihadkan, kata pakar

Pasaran akan jatuh jika kadar sewa dihadkan, kata pakar

Pemilik hartanah tidak harus dipaksa menyewakan hartanah kepada penyewa bukan pilihan mereka.

Kerajaan kini menggubal satu undang-undang bagi menetapkan kadar sewa maksimum.
PETALING JAYA:
Seorang veteran dalam sektor hartanah mengingatkan tentang kemungkinan berkurangnya bilangan rumah untuk pajakan sekiranya kadar sewa dihadkan di bawah cadangan Akta Sewaan Rumah Kediamaan.

“Pasaran akan jatuh” jika kerajaan menetapkan kadar sewaan maksimum, kata Ernest Cheong yang berpengalaman 40 tahun sebagai juruukur bertauliah.

“Kita tidak boleh gunakan undang-undang untuk agihkan ekonomi,” katanya. “Ia mesti ditentukan oleh kuasa pasaran.”

Beliau mmenyorot langkah kerajaan mengenakan had ke atas harga hartanah komersial pada 1960-an.

“Pemaju tidak dapat menjual dan akhirnya berlaku kekurangan bekalan,” katanya.

“Keadaan sama akan berlaku bagi pasaran hartanah sewaan. Apabila pemilik tidak mahu memajakkan hartanah mereka, maka akan berlaku kekurangan hartanah untuk disewa.”

Beliau mempersoalkan sama ada kerajaan mahu memaksa orang ramai menyewakan hartanah mereka.

Ahad lepas, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, kerajaan kini menggubal satu undang-undang bagi menetapkan kadar sewa maksimum. Beliau menyebut rumah kos rendah secara khusus.

Katanya, salah satu tujuan penggubalan undang-undang itu ialah bagi menghentikan amalan perkauman.

Cheong berkata, kuasa pasaran tidak ada kaitan dengan kaum.

Ernest Cheong.

“Jika saya mahu memajakkan hartanah saya, saya tidak peduli tentang warna kulit anda,” katanya. “Jika anda boleh bayar, saya akan sewakan kepada anda.

“Katakan seorang Melayu datang berjumpa saya dan tawarkan RM2,000 untuk menyewa hartanah saya, tetapi orang berikutnya menawarkan RM2,500 dan beliau seorang Cina. Jika saya pilih untuk menyewakan hartanah saya kepada orang Cina ini, apakah itu diskriminasi kaum?”

Setiausaha agung Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) Chang Kim Loong juga berkata, pemilik hartanah seharusnya mempunyai hak untuk memilih penyewa mereka.

“Pemilik berbeza akan mempunyai kriteria berlainan berdasarkan pengalaman dan keutamaan mereka sendiri,” katanya.

“Walaupun NBA tidak menyokong penggunaan kaum sebagai kriteria, namun pemilik hartanah tidak harus dipaksa menyewakan hartanah kepada penyewa bukan pilihan mereka.”

Beliau juga menolak cadangan untuk mengehadkan kadar sewa.

“Sewa adalah urus niaga persendirian antara penyewa dan pemilik hartanah,” katanya. “Jika kerajaan mahu campur tangan dalam urusan sewa rumah kediaman, maka akan ada pula gesaan memintanya (kerajaan) campur tangan dalam isu sewaan hartanah komersial.

“Apakah kerajaan akan dipaksa mengehadkan sewaan pusat membeli belah, medan makan, restoran, bangunan pejabat dan hartanah bukan kediaman lain?”

Chang Kim Loong.

Beliau mengingatkan bahawa keadaan ini akan menghalang pelaburan dari luar dan dalam negara.

Bercakap tentang fokus cadangan itu kepada rumah kos rendah, Chang berkata, ia berlawanan sama sekali dengan tujuan pembinaan rumah itu sendiri.

Rumah kos rendah dibina untuk tujuan kediaman, bukan disewa, katanya.

Bagaimanapun katanya, beliau bersetuju tentang keperluan mengawal selia amalan penyewaan.

“Kita cadangkan diwujudkan satu mahkamah kuasi dalam bentuk satu tribunal bagi mengadili pertikaian penyewaan, tanpa perlu menggunakan mahkamah sivil untuk tujuan itu.

“Mungkin satu pendekatan lebih holistik perlu diambil bagi mendidik bakal penyewa dan tuan rumah tentang peranan serta tanggungjawab bersama mereka.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.