
Timbalan Yang Dipertua MPS, Juhari Ahmad berkata, pihaknya juga menyita pelbagai barangan premis seperti kerusi, meja dan peralatan audio.
“Beberapa sofa, puluhan meja dan kerusi, beberapa peralatan audio, seperti monitor dan televisyen merupakan antara peralatan biasa yang digunakan dalam premis ini bagi aktiviti hiburan.
“Selain itu, kita mendapati, satu daripada premis yang diserbu turut memperagakan model wanita (di atas pentas). Saya percaya mereka terdiri daripada warga asing.
“Ia di luar bidang kuasa kita dan tindakan hanya diambil berdasarkan akta di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya kepada pemberita di Ibu pejabat MPS, di sini, malam tadi.
Katanya, 2 premis berkenaan telah beroperasi sejak 8 tahun lalu dan pernah diserbu pihaknya beberapa kali, namun masih berdegil dan meneruskan perniagaan mereka selepas diserbu pihak berkuasa.
Juhari berkata, premis yang diserbu pernah mempunyai lesen (perniagaan), tetapi dibatalkan kerana melanggar syarat lesen perniagaan seperti menggaji pekerja asing asing tanpa permit yang sah.
“Apabila terlalu kerap melanggar syarat lesen perniagaan, tindakan terakhir adalah membuat serbuan dan menyita barang perniagaan mereka,” katanya.
2 premis berkenaan dikenakan kompaun sebanyak RM 25,000 dibawah Seksyen 6(1), Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1995 (Mengadakan Tempat Hiburan Tanpa Lesen).