
Ketua Pemuda PBS Christopher Mandut berkata, cadangan itu akan menyaksikan Sabah membiayai pembinaan infrastruktur dan keperluan pelarian terbabit.
“Ini bukan perkara baru,” katanya kepada FMT. “Kita pernah ada pulau Bidong, tetapi dalam kes itu, kem pelarian di pulau tersebut dibiayai kerajaan pusat yang “meminjam” pulau berkenaan daripada kerajaan negeri.
“Kem pelarian di pulau Bidong juga diurus dan dikawal selia oleh UNHCR,” katanya.
Beliau berkata, jika pulau untuk pelarian yang dicadangkan oleh Shafie itu diurus dan dibiayai oleh badan berkenaan, maka PBS tidak mempersoalkannya.
Bagaimanapun katanya, terdapat keperluan semasa yang mesti ditangani di Sabah, termasuk isu tanah untuk pertanian dan perumahan.
Beliau mendesak Shafie dan kerajaan pimpinan Warisan menyelesaikan isu ini terlebih dahulu sebelum membuat persediaan untuk satu kemungkinan yang belum tentu berlaku.
“Rakyat menderita kerana harga barang naik, sementara pendapatan tidak bertambah,” kata beliau.
Mandut juga mempersoalkan sama ada pelarian akan berpuas hati untuk terus berada di pulau sedemikian.

Katanya, pada masa ini tidak berlaku kekacauan di kawasan berjiran seperti selatan Filipina, seperti perang yang berlaku pada 1970-an yang menyaksikan limpahan pelarian dari negara itu yang menyelamatkan diri ke Sabah.
Ramai daripada mereka terus menetap di Sabah dan tidak kembali ke Filipina.
Mandut juga membangkitkan kemungkinan pelarian yang ditempatkan di pulau berkenaan akhirnya diberikan kewarganegaraan.
“Kerajaan gagal menyediakan cetak biru untuk negeri ini. Satu-satunya perkara yang kita dengar daripada mereka ialah isu berkaitan pendatang, termasuk menghalalkan pendatang haram.
“Bagi PBS, ia mudah, Tangkap pendatang haram dan hantar mereka pulang,” katanya, dengan menambah bahawa individu sedemikian tidak boleh dianggap sebagai pelarian.