
Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.1300/1350 berbanding dolar AS daripada 4.1400/1450 ketika ditutup semalam.
Laporan baru-baru ini mengenai kemungkinan Malaysia dikeluarkan daripada FTSE Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI) dan tindakan penarikan pegangan dana kekayaan negara Norway mendorong penjualan dalam pasaran tukaran asing dan menyebabkan pergerakan ringgit menghampiri paras terendah dalam tempoh 3 bulan pada Rabu.
“Ringgit menyusut dengan banyak dan kini belian semasa harga rendah wujud untuk mengambil peluang terhadap keadaan ini. Pelabur kini lebih menumpukan kepada pergerakan asas,” kata peniaga.
Penganalisis pasaran FXTM Han Tan menyifatkan kelemahan ringgit berbanding dolar AS adalah bersifat sementara seperti dibuktikan dengan peningkatan semula ringgit hari ini yang disokong oleh asas ekonomi Malaysia yang kukuh.
Beliau berkata, data inflasi Malaysia pada Mac yang dikeluarkan minggu depan bagi menunjukkan sama ada harga meningkat semula daripada deflasi yang dicatatkan pada 2 bulan pertama tahun ini boleh mengimbangi kelemahan ringgit berbanding dolar AS sekiranya maklumat itu merekodkan inflasi.
“Secara keseluruhan, kami menjangka tekanan harga akan terus dapat dikawal sepanjang 2019 dan membolehkan penggunaan domestik terus memacu pertumbuhan,” katanya.
Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tertinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0473/0514 daripada 3.0535/0584 pada Khamis dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.6898/6949 daripada 3.6991/6039.
Unit tempatan itu meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3707/3792 berbanding 5.3853/3935, semalam dan naik berbanding euro kepada 4.6446/6506 daripada 4.6579/6640, semalam.