Nigeria laksana gaji minimum AS$83.33 sebulan

Nigeria laksana gaji minimum AS$83.33 sebulan

Akta itu akan diguna pakai terhadap semua pekerja di seluruh Nigeria, kecuali organisasi yang mempunyai kurang 25 pekerja.

Persatuan Buruh Nigeria menggesa kerajaan persekutuan menaikkan kadar gaji minimum daripada 18,000 naira (AS$50.07) kepada 30,000 naira, berdasarkan realiti ekonomi semasa dan kadar inflasi tinggi di negara itu. (Gambar AFP)
ABUJA:
Presiden Nigeria, Muhammadu Buhari semalam menandatangani Rang Undang-Undang Gaji Minimum Negara, lapor agensi berita China Xinhua.

RUU itu yang bersetuju dengan jumlah 30,000 naira (AS$83.33) sebagai gaji minimum bulanan, diluluskan kedua-dua Dewan Perhimpunan Kebangsaan sebelum dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum 2019.

Pembantu kanan khas presiden mengenai hal perhimpunan kebangsaan, Ita Enang berkata, ia berkuatkuasa serta-merta.

Beliau berkata, ia untuk semua pekerja di seluruh negara itu dengan pengecualian bagi organisasi yang mempunyai kurang 25 pekerja.

“Ini bermaksud semua majikan di Nigeria wajib membayar gaji pekerja mereka sekurang-kurangnya 30,000 naira sebulan,” katanya.

Pada November 2018, Persatuan Buruh Nigeria mengancam melancarkan mogok di seluruh negara bagi membantah kegagalan kerajaan memberi maklum balas terhadap tuntutannya berkaitan gaji minimum baru.

Kesatuan buruh menggesa kerajaan persekutuan menaikkan kadar gaji minimum negara itu daripada 18,000 naira (AS$50.07) kepada 30,000 naira, dengan merujuk realiti ekonomi semasa, khususnya kadar inflasi tinggi di negara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.