
Chow dalam kenyataan ringkas berkata projek itu, yang sebelum ini dikenali sebagai Tebus Guna Selatan Pulau Pinang (PSR) mendapat kelulusan Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN).
Beliau berkata majlis yang dipengerusikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad itu memberikan 18 nasihat yang perlu dipatuhi.
Chow akan menjelaskan perkara itu pada sidang media esok.
“Kerajaan Pulau Pinang akan patuhi nasihat MPFN dan agensi berkaitan mengikut seksyen-seksyen bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976,” kata Chow.
PSR berkeluasan hampir 17km persegi, dengan pulau-pulau seluas 9.3, 4.45 dan 3.23km persegi akan ditebus guna di perairan Permatang Damar Laut, berdekatan Bayan Lepas.
Tanah yang ditebus guna itu milik kerajaan Pulau Pinang tetapi akan melelongnya kepada pembida tertinggi bagi membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) berharga RM46 bilion.
PTMP merancang beberapa lebuh raya, transit aliran ringan dan mod pengangkutan lain dibina dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.
Kerajaan Pulau Pinang menunjukkan ia mahu memulakan Lebihraya Pan Island Link 1 sepanjang 19.5km dan LRT Komtar-Bayan Lepas sebelum projek lain.
PSR akan dilaksanakan oleh SRS Consortium Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Gamuda Bhd, syarikat-syarikat pembangunan hartanah Loh Phoy Yen Holdings Sdn Bhd dan Ideal Property Development Sdn Bhd.