Cara betul untuk ibu mengandung pakai tali pinggang keledar, kurangkan impak kemalangan

Cara betul untuk ibu mengandung pakai tali pinggang keledar, kurangkan impak kemalangan

Jika berlaku kemalangan sekurang-kurangnya langkah yang sewajarnya diambil iaitu memakai tali pinggang keledar keselamatan

Cara sebenar pemakaian tali pinggang keledar untuk ibu mengandung. (Gambar theasianparent.com)

Pemakaian tali pinggang keledar adalah amat penting tidak kiralah sama ada untuk dewasa ataupun kanak-kanak bagi mengelak daripada sebarang bencana daripada berlaku.

Malah dengan memakai tali pinggang keledar juga mampu melindungi setiap penumpang terutama sekali jika berlaku kecemasan ketika memandu.

Ibu mengandung juga tidak terkecuali daripada mematuhi peraturan ini supaya kandungan dan kesihatan ibu terjamin.

Namun tidak dinafikan, ramai dalam kalangan ibu hamil yang masih tidak menitikberatkan peraturan ini dan memakai tali pinggang keledar dengan cara yang salah.

Berikut disenaraikan cara yang betul dan betapa pentingnya untuk ibu hamil memakai tali pinggang keledar semasa berada dalam kereta.

1.TALI PINGGANG BAWAH PERUT

Bahagian melintang tali keledar keselamatan sepatutnya berada di bawah perut ibu hamil, lurus dan tidak terbelit.

Ini untuk memastikan tali pinggang itu memegang pada tulang punggung/pelvis dan tidak kena secara terus pada perut.

Jika berlakunya kemalangan dan tali keledar itu berada di atas perut dikhuatiri boleh menyebabkan kecederaan pada organ dalaman seperti hati, limpa, usus dan pada rahim sendiri.

2. SENTIASA PAKAI TALI PINGGANG KELEDAR KESELAMATAN

Walaupun anda adalah penumpang yang duduk di belakang, semasa nak adjust tali keledar tu angkat perut sikit dan pastikan tali pinggang dalam keadaan lurus dan berada di atas paha tetapi di bawah perut

3. PASTIKAN TALI PINGGANG KETAT

Ketatkan tali pinggang dan pastikan tali pinggang yang melintang di bawah perut adalah cukup ketat.

Tali pinggang yang belah atas atau pada bahu sepatutnya berada di celah-celah buah dada ibu.

4. KEDUDUKAN STERENG

Jika ibu adalah pemandu sendiri, laraskan kedudukan stereng ke atas sikit.

5. TEGAKKAN KERUSI ANDA SEBANYAK YANG MUNGKIN

Kerusi yang terlalu rendah akan meninggikan risiko tali pinggang mencederakan rahim dalam kemalangan.

Kerusi pemandu hendaklah ke belakang sedikit jauh dari beg udara (airbag)

Tak payah beli pelbagai produk atau sponge untuk lindungi perut kononnya dapat melindungi rahim kalau berlakunya kemalangan.

Kajian menunjukan penggunaan tali pinggang keledar yang betul dan tepat dapat mengurangkan kecederaan kepada orang mengandung tanpa menggunakan produk tambahan.

Jangan bila mengandung sahaja sibuk nak pakai tali keledar.

Tak mengandung pun tetap kena pakai juga.

Jangan pula terkial kial baru hendak pasang tali keledar keselamatan bila nampak abang polis atau JPJ.

Malang tak berbau, kalau sudah ditakdirkan akan berlaku kemalangan seharusnya kita sudah mengambil langkah yang sewajarnya ini kerana dengan penggunaan tali pinggang keledar keselamatan sekurang-kurangnya dapat mengurangkan impak kemalangan.

Ingat ya… Perut yang besar itu tidak berfungsi sebagai ‘airbag’.

Sumber : Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak, Pegawai Perubatan Kesihatan Wanita & Kehamilan

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.