Sabah pertimbang tempatkan pelarian di pulau, kata ketua menteri

Sabah pertimbang tempatkan pelarian di pulau, kata ketua menteri

Shafie Apdal berkata ia mungkin dilakukan sekiranya berlaku kemasukan dari negara jiran.

Shafie Apdal di Dewan Undangan Negeri di Kota Kinabalu hari ini. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal berkata kerajaan negeri pertimbangkan untuk menempatkan pelarian di pulau berdekatan sempadan sekiranya berlaku kemasukan daripada negara jiran.

Beliau berkata ia akan dilakukan atas sebab-sebab kemanusiaan. Walaupun pelarian tidak dianggap pendatang haram, mereka tidak akan ditempatkan di tanah besar.

“Pada 1970-an, berlaku perang saudara di Filipina, Jadi PBB melainkan peranan membantu pelarian dan kerajaan Sabah mewartakan beberapa kawasan untuk PBB.

“Kita belajar daripada masa lalu. Kita akan mencadangkan penempatan sementara, jauh dari tanah besar Sabah, jika ada kemasukan daripada negara jiran, sama ada Filipina atau Indonesia,” katanya kepada pemberita di Dewan Undangan Negeri hari ini.

Beliau berkata perkara ini untuk “menyelamatkan nyawa orang dan keluarga”.

“Tetapi mereka tidak dibenarkan berada di tanah besar,” katanya, dan menambah mereka juga tidak akan ditempatkan di pulau-pulau pelancongan seperti Sipadan atau Mantanani.

Beliau berkata menempatkan mereka di pulau adalah untuk tujuan keselamatan dan membolehkan kerajaan memantau pergerakan mereka.

“Seperti dalam jawapan saya (pada sidang semalam), pihak berkuasa keselamatan memainkan peranan besar, seperti di Pulau Bidong di Terengganu. Konsepnya sama,” katanya.

Adun Senallang berkata perkara itu tidak perlu dibincangkan dengan Filipina atau Indonesia.

“Ini atas sebab-sebab kemanusiaan. Kita tak boleh biar mereka mati di tengah laut, kan?”

Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa bagi Pelarian (UNCHR), bersama kerajaan persekutuan dan Sabah, memberi perlindungan kepada ribuan rakyat Filipina yang melarikan diri daripada negara asal susulan pergolakan pada 1970-an.

Pelarian-pelarian itu diber pas khas yang dikenali IMM13.

Terdapat beberapa kem pelarian UNHCR di serata negeri itu, yang dipertikaikan oleh pihak yang menyalahkan mereka atas gejala sosial di Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.