Pendengaran awam RCI kubur Wang Kelian bermula esok

Pendengaran awam RCI kubur Wang Kelian bermula esok

Sesi pendengaran awam itu akan diadakan selama 3 hari di KDN dari 9.30 pagi hingga 5 petang.

RCI akan menyiasat mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Sesi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis akan diadakan pada 17, 18 dan 22 April.

Sesi pendengaran awam itu akan diadakan di Dewan Gemilang, Aras G, Blok D1, Kompleks D, Kementerian Dalam Negeri (KDN), demikian menurut kenyataan KDN hari ini.

Masa adalah dari 9.30 pagi hingga 5 petang.

Bekas ketua hakim negara, Arifin Zakaria mengetuai RCI itu yang dianggotai 7 ahli. Timbalan Pengerusi RCI itu ialah bekas ketua polis negara, Norian Mai.

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata laporan siasatan RCI itu akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

KDN berkata orang awam yang ingin menghadiri sesi pendengaran awam tersebut perlu mendapatkan pas keselamatan khas bermula pukul 8.30 pagi di pondok pengawal Kompleks D dan mereka dinasihatkan mengikuti segala peraturan yang digariskan sepanjang tempoh pendengaran awam berlangsung.

“Sesi pendengaran awam seterusnya akan dijalankan pada tarikh tertakluk kepada perbincangan ahli-ahli RCI,” kata kementerian itu.

Menurut KDN, sesi pendengaran awam akan dijalankan secara tertutup, tanpa kehadiran orang awam, sekiranya melibatkan saksi-saksi bertaraf keselamatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.