Umno, PAS tutup kempen Rantau dengan munajat bersama

Umno, PAS tutup kempen Rantau dengan munajat bersama

Pimpinan Umno dan PAS mendoakan kemenangan untuk calon Barisan Nasional, Mohamad Hasan.

SEREMBAN: Umno dan PAS menutup tirai kempen pilihan raya kecil DUN Rantau dengan munajat bersama mendoakan kemenangan untuk calon Barisan Nasional, Mohamad Hasan.

Program diadakan di bilik gerakan utama BN dan dimulakan dengan solat Maghrib, bacaan surah Yasin, solat hajat dan diakhiri dengan solat Isyak yang diimamkan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Baharom.

Antara pemimpin PAS yang hadir adalah Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat, Mokhtar Senik dan Razman Zakaria, sementara dari Umno, Naib Presiden Mahdzir Khalid, Setiausaha Agung, Annuar Musa dan calon, Mohamad.

Mohamad ketika ditemui selepas program berkata dia berpuas hati jika dapat mempertahankan kerusi Rantau walaupun tanpa majoriti besar.

Terdapat 29,926 pengundi berdaftar di DUN berkenaan, dengan 55% daripadanya pengundi Melayu, India 26% dan Cina 19%.

Pengundi Rantau akan memilih wakil rakyat mereka esok. Mohamad berdepan saingan calon Pakatan Harapan, Dr S Streram dan 2 calon Bebas, iaitu bekas penyampai radio, Malar Rajaram dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.