
Beliau yang pernah menjadi menteri besar Johor selama 9 tahun berkata, sultan berhak melantik menteri besar berdasarkan calon yang dicadangkan parti mempunyai kerusi paling banyak dalam Dewan Undangan Negeri.
“Ini bukan baru. Sejak zaman-berzaman lagi sudah dikuatkuasakan,” kata menteri dalam negeri itu selepas lawatan kerja rasmi ke Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Stesen Udara Maritim di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Dr Mahathir Mohamad mempertahankan pendiriannya semalam yang pelantikan menteri besar Johor baru adalah hak parti pemerintah dan istana tiada peranan dalam perkara itu.
Perdana menteri berkata demikian selepas Sultan Johor meminta pihak tertentu tidak mencampuri urusan negeri itu.
Sebelum ini, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dilaporkan berkata, pelantikan menteri besar Johor ialah hak mutlak sultan.
Sementara itu, Muhyiddin menolak dakwaan beliau akan dilantik sebagai menteri besar Johor semula.
“Tak bolehlah, saya dah tua,” katanya berseloroh.
Adun Bukit Gambir itu berkata, beliau sedia membantu menteri besar Johor baru dari segi panduan dan khidmat nasihat.
Muhyiddin pernah menjadi menteri besar Johor dari 1986 hingga 1995 ketika Mahathir pertama kali menjadi perdana menteri.