
“Dari awal lagi dalam inkuiri kami memberi kerjasama penuh kepada Suhakam.
“Semua itu hanya tuduhan. Kami usaha sebaik mungkin. Saksi-saksi yang hilang atau tidak respon, kami usaha bersungguh-sungguh cuba memastikan mereka tampil apabila dipanggil Suhakam untuk hadir inkuiri.
“Tetapi jika orang itu berhenti (kerja), susahlah kami nak kesan. Kami hantar peringatan untuk ingatkan saksi supaya hadir inkuiri, tapi jika mereka tak muncul, itu di luar bidang kuasa kami,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan dan Pameran APAC Policetech hari ini.
Fuzi menjawab kenyataan Suhakam yang menuduh polis tidak memberi kerjasama penuh untuk membantu suruhanjaya tersebut mengesan saksi-saksi.
Saksi-saksi yang gagal menghadiri inkuiri termasuk pemilik restoran di Perlis, Saiful Afdzan, dan Saiful Bahari dari Cawangan Khas.
Kereta Saiful Bahari didakwa dilihat berdekatan tempat Amri diculik.
Fuzi menegaskan polis akan memberi kerjasama penuh kepada sebarang siasatan mengenai dakwaan ia terlibat dalam kehilangan Amri dan Koh.
Beliau berkata polis akan mematuhi arahan kerajaan untuk menyiasat kes tersebut.
Fuzi menepis dakwaan Suhakam mengatakan polis lewat memulakan siasatan, mengatakan mereka mengikut proses.
“Siasatan dimulakan apabila ada unsur jenayah,” katanya.
Beliau membidas Suhakam kerana mengumumkan keputusan inkuiri kepada orang ramai, sedangkan laporan itu patut diberi hanya kepada Kementerian Dalam Negeri dan pihak berkuasa berkaitan.
Minggu lepas, Suhakam mengeluarkan laporan selepas inkuiri selama 18 bulan mengenai beberapa orang hilang.
Laporan itu merumuskan Cawangan Khas terlibat dalam kes kehilangan Amri dan Koh.
Fuzi, yang dijadualkan bersara sebagai KPN bulan depan, merupakan pengarah Cawangan Khas ketika kehilangan tersebut berlaku.