
Ia susulan laporan sebuah laman web berita dalam talian hari ini yang mendakwa IPG dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) merupakan antara institusi yang akan dirombak semula dalam pelan rasionalisasi Kementerian Kewangan bagi menjimatkan kos kerajaan.
Laporan itu menyatakan ada usaha dalam KPM yang cuba mengekalkan 2 institusi itu daripada dikecilkan atau ditutup.
“Pada peringkat ini kita tidak merancang untuk menutup IPG. Jangan cetuskan panik. Ya, kami memang ingin mengurangkan kos, tetapi tidak menutup IPG. Kami masih memerlukan IPG untuk melatih guru untuk sekolah rendah,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian anugerah dan biasiswa Universiti UCSI, hari ini.
Mengulas lanjut, Teo berkata, seramai 6,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan memasuki 27 IPG di seluruh negara pada Julai tahun ini.
Tegas Teo, kementerian ada melakukan strategi pengurangan perbelanjaan dan kecekapan kos selari dengan saranan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, namun kementerian tidak memikirkan untuk menutup IPG dan agensi berkaitan.
Sementara itu, sumber laporan itu menyatakan bahawa KPM diberitahu mengenai pelan untuk merombak 6 agensi, bahagian dan projek di bawah KPM awal bulan lepas melalui satu surat.
Bagaimanapun, Teo berkata, beliau tidak tahu-menahu mengenai surat itu dan perlu melihat isi kandungannya terlebih dahulu.
Sumber laporan itu turut berkata, fungsi IPG yang melatih guru sekolah rendah akan diambil secara berperingkat oleh institut pengajian tinggi (IPT) yang menawarkan kursus pendidikan, manakala ITBM yang menjalankan kegiatan terjemahan dan penerbitan buku akan diambil alih oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).