
Bekas perdana menteri itu berkata, calon Barisan Nasional (BN), Mohamad Hasan pada perkiraannya lebih baik berbanding Dr S Streram daripada Palatan Harapan (PH).
Beliau membuat perbandingan itu berdasarkan rekod cemerlang Mohamad mentadbir Negeri Sembilan sebagai menteri besar selama 14 tahun.
“Kalau nak cari pemimpin, pertama cari yang elok, kedua cari yang pandai.
“Antara Streram dengan Mohamad Hasan, siapa lagi elok, siapa lagi pandai? Mestilah Mohamad, Streram pandai cucuk bagi orang tidur, jadi semua tidur nanti.
“Mohamad orang berpengalaman, orang korporat, jangan tolak pemimpin elok,” katanya ketika berucap di Program Santai bersama Bossku” di Bandar Sri Sendayan di sini, malam tadi.

Najib juga mengulangi dakwaannya bahawa rakyat telah tertipu dengan pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST) apabila harga barang tidak turun seperti dijanjikan oleh pemimpin PH.
“Cukai jualan dan perkhidmatan (SST) adalah lebih berat daripada GST, kita semua kena tipu.
“Pilihan raya kecil ini adalah untuk memberi isyarat yang jelas bahawa kita mahu supaya zaman BN kembali semula, bukan setakat memilih wakil rakyat,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Najib juga berkata, PH telah mengambil RM82 bilion dari rizab Petronas.
“PH jarah duit petronas RM82 bilion. Kalau saya perompak, perompak mana tinggal RM174 bilion duit Petronas? Tahun sudah, dividen Petronas cuma RM17 bilion kerajaan ambil sebab saya nak Petronas labur dalam industri gas dan minyak. Cari telaga minyak baru supaya tidak pupus sumber minyak.
“Hari ini mengikut Azmin (Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali) kalau kita tidak cari telaga minyak baru, kita boleh bertahan 10 tahun sahaja.
“Sebab itu pada zaman BN, kita tambah supaya Petronas melabur, tapi dia mudah-mudah jarah, dia cekau, tetapi bantuan kepada rakyat miskin menguncup,” katanya.
PRK Dewan Undangan Negeri Rantau menyaksikan pertandingan 4 penjuru antara Mohamad dengan calon PH, Dr S Streram dan 2 calon Bebas, iaitu Malar Rajaram dan Mohd Nor Yassin.