
Jurucakap kementerian itu mengesahkan Singapura menerima permintaan Putrajaya untuk diberikan 6 bulan bagi mengkaji pilihan lain untuk mengurangkan kos projek itu, pada 27 Mac lalu.
“Tarikh akhir (memulakan) projek itu mungkin ditangguhkan, dengan syarat ia dilakukan dalam rangka kerja Perjanjian Dua Hala RTS dan tertakluk kepada persetujuan bersama kedua-dua negara.”
Jurucakap itu berkata, Malaysia juga boleh meminta projek RTS digantung seperti projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan meminta untuk berunding perjanjian baru dengan republik itu.
Pada 1 April lalu, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook dilaporkan berkata, Malaysia meminta Singapura memberi lanjutan sehingga September ini untuk mengkaji pilihan lain bagi mengurangkan kos projek RTS.
Katanya, beberapa persetujuan sudah dicapai, tetapi ia belum boleh didedahkan kepada umum dan kedua-dua negara akan mengadakan pertemuan minggu depan.
RTS yang mampu mengurangkan masalah kesesakan di Tambak Johor dan Tuas, kali pertama diumumkan semasa pemukiman bekas perdana menteri, Najib Razak dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong pada 2010.
Projek yang akan menghubungkan perkhidmatan pengangkutan awam antara Johor Bahru dan Singapura melalui stesen RTS di Bukit Chagar serta stesen MRT Woodlands North, dijangka beroperasi pada 2024.
Projek itu sepatutnya bermula tahun lalu dan Singapura sebelum ini menyalahkan Malaysia kerana berulang kali menangguh dalam mengesahkan rakan usaha samanya.