
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata dakwaan Suhakam akan dianggap khabar angin jika tiada bukti.
“Mereka harus tunjukkan bukti. Saya tidak pasti apakah mereka mempunyai bukti,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat majlis tertinggi PPBM malam tadi.
“Harus diingat, ia tidak berlaku semasa pentadbiran kita. Banyak perkara yang berlaku di pentadbiran dulu, namun tidak didedahkan,” katanya.
Dr Mahathir berkata, sekiranya wujud bukti jelas menunjukkan terdapat salah laku polis, beliau tidak teragak-agak untuk mewujudkan jawatankuasa khas untuk menanganinya.
Terdahulu, Suhakam mempertanggungjawabkan Cawangan Khas atas kehilangan aktivis Perlis, Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh, yang didapati menjadi mangsa kehilangan paksa.
Perkembangan itu membawa kepada seruan supaya Ketua Polis Negara, Fuzi Harun disiasat kerana beliau mengetuai cawangan khas ketika kejadian.
Perdana menteri berkata perkara itu akan diserahkan kepada ketua polis negara baru, menggantikan Fuzi yang akan bersara wajib pada Mei.
“Dia akan bersara, kita akan biarkan dia bersara. Kita akan biarkan ketua polis negara baru yang siasat perkara ini,” katanya.
Amri, seorang aktivis dari Perlis, hilang pada penghujung 2016, sementara Koh dilihat diculik oleh beberapa orang pada siang hari pada Februari 2017.
Amri dituduh menyebarkan ajaran Syiah, tuduhan yang dinafikan isterinya, dan Koh disiasat pihak berkuasa agama kerana didakwa cuba mengkristiankan orang Islam ketika menganjurkan satu acara dihadiri orang Islam di sebuah gereja.
Sementara itu, Mahathir, yang juga pengerusi PPBM memberi jaminan kemasukan partinya ke Sabah bukan untuk mengugat kerajaan negeri yang dipimpin Warisan.
“PPBM bukan bertujuan jatuhkan kerajaan Warisan, sebaliknya kita akan sokong sepenuhnya kerajaan Warisan, dan kita tidak akan cuba rebut mana-mana jawatan.
“Pihak yang mungkin tidak setuju dengan Warisan yang akan cuba mempengaruhi PPBM untuk diperalatkan bagi menentang kerajaan Warisan, mereka tak payalah masuk jadi ahli,” katanya.
Dakwaan Dr Mahathir tidak akan serahkan jawatan sebagai perdana menteri kepada Anwar Ibrahim?
“Saya sudah nyatakan, apabila saya berhenti Anwar Ibrahim akan ambil alih.”
Jho Low dakwa Putrajaya menjual kapal layar mewah Equanimity dengan harga murah?
“Dia boleh datang ke sini (Malaysia) dan saya akan pergi ke mahkamah untuk pertahankan keputusan saya.”
PPBM akan adakan mesyuarat agung khas (EGM)?
“Kita tetapkan EGM akan berlaku pada tahun ini Kita tetapkan pada Mei tahun ini. Pemilihan parti juga tetap akan dijalankan pada tahun ini untuk memilih kepimpinan dalam parti.”