Streram: Daripada pakar bius kepada ‘doktor’ rakyat

Streram: Daripada pakar bius kepada ‘doktor’ rakyat

Calon PH S Streram bersedia meninggalkan dunia perubatan untuk berkhidmat kepada penduduk Rantau jika menang PRK DUN itu.

S Streram bakal dicabar bekas menteri besar Negeri Sembilan, Mohamad Hasan dari BN dan 2 orang calon bebas iaitu Malar Rajaram dan Mohd Nor Yassin.
RANTAU:
Siapa yang tidak mengenali Dr S Streram selepas insiden terlupa membawa pas semasa penamaan calon, menyebabkan beliau gagal bertanding pada pilihan raya umum ke-14 dan memberi kemenangan tanpa bertanding DUN Rantau kepada calon Barisan Nasional.

Kini, beliau kembali untuk bertarung idea dan semangat di Rantau selepas Mahkamah Khas Pilihan Raya membatalkan kemenangan calon BN, Mohamad Hassan pada 16 November lalu.

“Saya gembira disahkan bertanding di sini. Tapi, rasa lebih takut berbanding PRU14 lalu kerana satu negara tengok PRK ini,” katanya dalam temubual dengan FMT.

Streram yang juga pakar bius bakal dicabar bekas menteri besar Negeri Sembilan, Mohamad dari BN dan 2 orang calon bebas iaitu Malar Rajaram dan Mohd Nor Yassin.

Bercakap mengenai perjuangannya kali ini, beliau mengakui terdapat cakap-cakap belakang mengenai asal usulnya yang bukan anak tempatan, berbeza dengan 3 calon lain.

“Benar, saya bukan orang Rantau, tapi saya tahu semua masalah di Rantau,” kata timbalan pengerusi PKR Rembau itu.

Jelasnya, kerjaya dalam bidang perubatan membantu beliau mengenal pasti krisis dan kemelut yang dihadapi masyarakat di situ.

Pakar bius itu berkata beliau arif dengan isu kesihatan yang melanda penduduk Rantau.

“Saya pakar bius yang sudah berkhidmat di Negeri Sembilan selama 15 tahun, Ramai pesakit saya yang berasal dari Rantau. Bahkan saya juga ada ahli keluarga yang berkahwin dengan orang tempatan sini.

“Jadi, tak boleh kata saya tak tahu dan tak faham apa yang berlaku di sini,” katanya.

Streram sudah berkhidmat selama 34 tahun dalam bidang anaesthesiologi. Sepanjang tempoh itu, beliau pernah terlibat dalam misi kemanusiaan ke Sudan, Hong Kong dan Afghanistan.

Lelaki berusia 62 tahun itu juga pernah meraih anugerah Ahli Mangku Negara (AMN) dari Yang di-Pertuan Agong pada 2013.

Beliau kini aktif dalam beberapa persatuan perubatan seperti Persatuan Anaesthesiologi Malaysia dan Malaysian Medical Council (MMC), selain persatuan perubatan antarabangsa iaitu Medicine San Frontiers (MSF).

Arif masalah kesihatan penduduk

Dengan pengalaman perubatannya melebihi 3 dekad, katanya, beliau arif dengan isu kesihatan yang melanda penduduk Rantau.

“Kita tidak mempunyai pusat kesihatan untuk pesakit pergi menerima rawatan. Tidak ada juga kemudahan pengangkutan untuk membawa mereka ke hospital yang berhampiran untuk dirawat. Sebab itu, ada dalam kalangan mereka, yang tak pergi langsung ke hospital.

“Ambil contoh, temujanji untuk pesakit kencing manis. Mereka dikehendaki berpuasa dan perlu berada di hospital pada waktu pagi untuk pemeriksaan.

“Namun, tiada pengangkutan yang boleh diakses tepat pada waktunya, bagaimana mereka mahu pergi? Teksi pula agak mahal,” katanya.

Disebabkan itu, Streram berkata, rata-rata penduduk kampung terutamanya yang tinggal jauh di kawasan estet memilih untuk tidak mendapatkan rawatan dan nasihat perubatan yang lebih teratur.

“Sebab itulah ramai penduduk kampung senang dapat darah tinggi kerana paras gula mereka sukar dikawal dan penyakit terus berpanjangan.

“Kita kena telitikan perkara ini dengan serius. Dan, saya tahu bagaimana mahu selesaikan permasalahan ini,” katanya.

Terdahulu, Streram meletakkan isu naik taraf Kinik Kesihatan Rantau sebagai agenda utama beliau sepanjang kempen PRK Rantau.

Katanya, klinik kesihatan itu tidak melebihi daripada klinik biasa. Lebih memeritkan, 2 biji ambulans yang disediakan tidak berfungsi untuk membawa pesakit ke Hospital Tunku Jaafar.

Apabila ditanya apa yang akan berlaku jika beliau tewas sekali lagi dalam pertarungan kali ini, beliau dengan tenang berkata beliau akan terus fokus dalam kerjayanya sebagai pakar perubatan.

Namun, jika memenangi PRK tersebut, beliau bersedia meninggalkan bidang perubatan dan berkhidmat sepenuh masa untuk masyarakat di Rantau.

“Inilah keluarga saya. Semuanya yang berada di Rantau. Mereka lah orang yang saya sayang. Saya sesekali tidak akan meninggalkan mereka.

“Saya boleh raih banyak pendapatan sebagai ahli perubatan profesional, tapi itu bukan sasaran saya. Saya mahu semai kebajikan perubatan di sini,” katanya.

Katanya lagi, beliau mahu kekal bersama masyarakat yang disayanginya di Rantau tanpa mengira keturunan mereka.

“Saya akan bekerja untuk mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.