Kami masih cari individu serang jentera bomba, polis beritahu inkues Adib

Kami masih cari individu serang jentera bomba, polis beritahu inkues Adib

Lew Keng Joe dari Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya berkata, mereka sedang mendapatkan bantuan daripada khidmat risikan polis untuk mengesan individu terbabit.

Kerosakan yang dialami jentera FRT selepas diserang sekumpulan perusuh sekitar Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, pada 27 November lalu. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Pegawai penyiasat dalam kes Muhammad Adib Mohd Kassim memberitahu inkues menentukan punca kematian anggota bomba itu hari ini yang polis masih mencari suspek yang menyerang jentera bomba di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, tahun lalu.

Lew Keng Joe dari Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya berkata, mereka sedang mendapatkan bantuan daripada khidmat risikan polis untuk mengesan individu terbabit.

“Kami masih menyiasat perkara itu. Ada imej mereka yang menyerang FRT, tetapi kualitinya tidak baik menyebabkan sukar untuk kami mengenal pasti mereka,” katanya merujuk kenderaan Fire Rescue Tender.

Jentera FRT itu berundur selepas diserang dan terlanggar van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di belakangnya.

Lew Keng Joe.

Lew menjawab soalan pegawai pengendali inkues, Faten Hadni Khairuddin, jika ada tindakan diambil terhadap individu yang menyerang jentera bomba itu.

Katanya, beliau menerima beberapa rakaman video serangan itu, tetapi pasukan forensik polis tidak mendapat sebarang imej jelas suspek terbabit.

Walaupun polis sudah menahan 12 suspek, katanya, mereka tidak boleh menahan mereka semula selepas polis mengklasifikasikan semula kes itu sebagai kes bunuh.

“Kami tidak boleh menahan sesiapa 2 kali bagi kes sama. Saya rasa peguam keluarga tahu mengenai perkara ini,” katanya kepada peguam, Yahaya Othman, yang mewakili keluarga Adib.

Lew berkata, keterangan saksi, Narresh Rajandran tidak konsisten kerana keterangannya diubah mengenai cara beliau menemui Adib tidak sedarkan diri.

“Beliau beritahu saya 3 kali, beliau ialah orang pertama menemui Adib terbaring tidak sedarkan diri.

“Bagaimanapun, beliau kemudian beritahu Suresh yang menemui Adib terlebih dahulu,” katanya merujuk kontraktor Suresh Surunariani.

“Saya perlu siasat semula.”

Putrajaya memutuskan untuk mengadakan inkues itu kerana pelbagai dakwaan bercanggah timbul berhubung kematian Adib.

Adib, 24, antara anggota EMRS dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya yang dikerahkan ke sekitar Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, selepas beberapa kereta dibakar pada 27 November lalu.

Anggota bomba itu yang parah dalam keganasan di luar kuil itu, meninggal dunia 17 Disember lalu, 3 minggu selepas dirawat di Institut Jantung Negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.