Isteri Koh, Amri tunggu pengakhiran, harap suami pulang

Isteri Koh, Amri tunggu pengakhiran, harap suami pulang

Susanna Liew berkata, jika tiada tindakan diambil peguam negara dan pihak berkuasa berdasarkan penemuan inkuiri Suhakam, mereka akan memfailkan saman sivil terhadap Cawangan Khas atau individu terbabit.

Norhayati Mohd Ariffin dan Susanna Liew, isteri Amri Che Mat serta Pastor Raymond Koh bergambar bersama selepas Suhakam mengumumkan penemuannya hari ini. Turut hadir ialah anak mereka (Amirah Che Mat (berdiri, dari kiri), Esther Koh serta Jonathan Koh.
KUALA LUMPUR:
Isteri Pastor Raymond Koh dan Amri Che Mat berharap dapat bersatu dengan suami mereka dan mereka masih selamat, selepas inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia memutuskan kedua-dua lelaki itu diculik polis Cawangan Khas.

Isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin lega dengan keputusan Suhakam yang mengesahkan perkara diberitahu seorang pemberi maklumat polis kepadanya tahun lalu.

Tetapi, beliau tertanya-tanya jika dapat menemui suaminya semula.

“Itu yang saya mahu tanya, walaupun sekarang kita tahu Suhakam sudah menamakan Cawangan Khas Bukit Aman sebagai pihak terbabit. Adakah mereka akan pulang ke pangkuan kami?” katanya kepada wartawan selepas menghadiri inkuiri Suhakam terakhir berhubung kehilangan Amri dan Koh.

Amri yang merupakan pengasas persatuan kebajikan, Perlis Hope, hilang sejak 24 November 2016.

Norhayati dilaporkan berkata, saksi ternampak 5 kenderaan menghalang laluan kereta Toyota Fortuner milik Amri, sebelum beliau dibawa pergi, kira-kira 550m dari rumah mereka di Bukit Chabang, Kangar.

Ada dakwaan mengatakan Amri menjadi sasaran disebabkan kecenderungannya terhadap ajaran Syiah yang dianggap “sesat” oleh pihak berkuasa agama tempatan.

Koh pula diculik lebih 10 lelaki dari keretanya di Jalan SS4B/10, kurang 100m dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Februari 2017, dengan rakaman kamera litar tertutup sebuah rumah berhampiran menunjukkan sekurang-kurangnya 3 kenderaan hitam terbabit dalam penculikan itu.

Ramai mengatakan penculikan Koh mungkin ada kaitan dengan dakwaan beliau cuba menyebarkan agama Kristian, tetapi ia disangkal keluarganya.

Tunggu pengakhiran

Norhayati berkata, beliau dan isteri Koh, Susanna Liew sedang menunggu pengakhiran.

“Apa status kami? Adakah kami balu? Anak-anak saya masih muda, adakah mereka anak yatim?” soalnya.

Guru itu berkata, selepas lebih 2 tahun bersedih, beliau sedia menerima hakikat jika suaminya sudah meninggal dunia.

“Kami sentiasa memikirkan perkara terburuk. Adakah beliau diseksa? Apa yang berlaku? Saya hanya mahu tahu (perkara sebenar),” katanya kepada FMT.

Saman sivil

Sementara itu, Liew berharap Koh dan Amri akan pulang ke pangkuan mereka dengan selamat.

“Kami mahu keadilan dan kebenaran didedahkan kerana sehingga hari ini, kami tidak tahu apa sebenarnya berlaku kepada suami kami dan kenapa mereka dilarikan.”

Beliau berkata, mereka akan memberi masa kepada peguam negara dan pihak berkuasa mengambil tindakan berdasarkan penemuan serta cadangan inkuiri Suhakam.

“Jika tiada apa dilakukan, maka kami tiada pilihan lain. Ini akan memaksa kami memfailkan saman sivil terhadap Cawangan Khas atau individu terbabit.”

Liew dan Norhayati berkata, mereka menjadi rapat melalui kehilangan suami mereka dan sering berjumpa untuk memberi sokongan kepada satu sama lain.

“Kami tahu apa perasaan untuk kehilangan seseorang yang kami sayang. Kami sokong satu sama lain. Saya pernah ke Perlis melawatnya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.