
“Dia akan datang, sama ada Khamis atau Jumaat.
“Saya juga jemput beliau datang ke Sendayan kerana pembangunan kawasan itu hasil buah tangan beliau menolong kerajaan negeri (ketika zaman BN) dengan memindahkan pangkalan tentera udara ke Sendayan,” katanya pada sidang media di bilik gerakan utama BN hari ini.
Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berkata, dengan adanya bantuan Najib, kerajaan negeri terdahulu di bawah pimpinannya berjaya membangunkan bandar Sendayan, selepas 1MDB membeli tanah seluas 750 ekar di bandar itu untuk membina pangkalan tentera udara baru.
Syarikat 1MDB membeli tanah di Sendayan daripada kerajaan Negeri Sembilan bagi membangunkan Pangkalan Udara Sendayan yang baru, sebagai syarat pengambilalihan tanah Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Sungai Besi untuk pembangunan Bandar Malaysia.
“1MDB ambil (tanah di) pangkalan TUDM (Sungai Besi untuk membangunkan Bandar Malaysia), tapi syarat Kementerian Pertahanan ketat, sebelum ambil alih, pihak (1MDB) kena bina pangkalan baru dulu.
“Jadi, pangkalan baru itu perlu bina di Sendayan, kena naik taraf pangkalan-pangkalan tentara (sedia ada). Jadi, setelah siap Pangkalan Tentera Sendayan baru, pangkalan di Sungai Besi boleh diambil alih.
“Dengan penjualan tanah 750 ekar itu, kita dapat membayar pinjaman negeri, buat modal untuk MBI (Menteri Besar Incorporated) dan kerajaan negeri membayar hutang.”
Sementara itu, Mohamad berkata, kehadiran Najib tidak akan merencatkan sokongan rakyat kepada BN di Rantau.
“Orang dah lali dengan fitnah dan tuduhan macam-macam, tapi saya yakin ramai lagi orang melihat dan kenang jasa Najib di Negeri Sembilan.”
Isu 1MDB
Mohamad berkata, isu 1MDB yang dimainkan Pakatan Harapan sepanjang kempen PRK Rantau tidak akan memberi kesan kepada pengundi kerana rakyat lebih mengutamakan isu lain seperti kenaikan kos sara hidup.
“Orang Rantau tak kisah pasal 1MDB… mereka lebih bimbang susah nak beli barang sekarang, duit tak ada, harga getah, kelapa sawit merudum.
“Nak beli apa, BR1M yang ditunggu-tunggu dipotong, banyak bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dihentikan.”