
Ahli Parlimen Keningau itu berkata rakyat di kedua-dua negeri itu ternanti-nanti pindaan yang dicadangkan itu, tetapi terdapat keraguan kerana perkara itu nampak seperti “diselubungi kerahsiaan”.
Perkara 1(2) akan dipinda bagi memulihkan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan setaraf Tanah Melayu dalam pembentukan Malaysia.
Perubahan itu sebahagian daripada tuntutan pimpinan Sabah dan Sarawak kepada Putrajaya supaya menghormati istilah-istilah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Kitingan berkata Perkara 1.2 dan MA63 merupakan asas kepada pembentukan persekutuan.
“Cadangan pindaan tidak perlu buat secara terburu-buru. Ruang secukupnya harus diberikan kepada semua pemegang taruh dan semua pihak untuk mengkaji dan membincangkan sebarang pindaan yang dicadangkan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata jawatankuasa Kabinet mengenai MA63 dijadualkan akan membentangkan laporan akhir pada Jun atau Julai, dan sebarang pindaan pada Perkara 1(2) harus dibentangkan bersama pindaan-pindaan lain yang akan dicadangkan nanti.
Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen sebelum ini mengesahkan rang undang-undang meminda Perkara 1(2) akan dibentangkan di Parlimen pada 8 dan 9 April.
Kitingan berkata banyak lagi pindaan diperlukan untuk memulihkan status rakan setaraf.
Beliau mengemukakan beberapa cadangan, antaranya:
- Perkara 160 mentakrifkan “persekutuan” dengan merujuk kepada Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, yang hanya melibatkan Semenanjung.
- Bendera Malaysia diubah bagi mencerminkan persekutuan 3 negara anggota dan bukan 13 negeri dan wilayah persekutuan.
- Jawatan Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Sarawak ditukar kepada “Yang DiPertua Negara” seperti pada 1963.
- Tiga negara anggota masing-masing diketuai seorang ketua negara anggota, dan harus ada seorang ketua negara persekutuan untuk Malaysia.
- Bilangan Ahli Parlimen, wakil-wakil rakyat dan senator-senator dan ahli jemaah menteri persekutuan, disemak semula bagi mencerminkan perkongsian sama taraf.
Kitingan, yang juga presiden Parti Solidariti Tanah Airku berkata, cadangan-cadangan ini dikemukakan sekadar untuk difikirkan.
“Perkongsian sama taraf sebenar antara Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak bukan sekadar pindaan pada Perkara 1(2),” katanya.
Beliau berkata pindaan pada Perkara 1(2) pada 1976 tidak berperlembagaan kerana ia dilakukan tanpa berunding dan persekutuan Sabah dan Sarawak.
“Oleh itu, sama ada ia ditarik balik atau dipinda, ia tidak mempunyai kesan yang sah atau kesan undang-undang pada status Sabah dan Sarawak sebagai rakan setaraf.”
Beliau berkata kerajaan Sabah gagal melibatkan semua pemegang taruh dalam perbincangan itu. Sabah perlu mengikut langkah Sarawak melibatkan ahli-ahli politik pembangkang dan persatuan-persatuan masyarakat, katanya.
“Malangnya, di Sabah, jawatankuasa MA63 hanya terdiri daripada kerajaan dan pemimpin-pemimpin pro-kerajaan. Ramai antara mereka bukan pejuang atau penyokong kuat hak-hak Sabah.
“Lebih malang lagi, ramai antara mereka sebelum ini pro-Tanah Melayu dan pro-persekutuan serta menentang hak-hak Sabah, MA63 dan 20 Perkara,” kata Jeffrey.
Beliau berkata sebarang pindaan mesti dibentangkan di dibahaskan di Dewan Undangan Negeri Sabah selepas perbincangan bipartisan.