Setuju umum laporan CEP, tetapi terserah kepada kerajaan, kata Daim

Setuju umum laporan CEP, tetapi terserah kepada kerajaan, kata Daim

Terdapat maklumat dalam laporan Majlis Penasihat Kerajaan tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi.

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Daim Zainuddin.
PETALING JAYA:
Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) menyokong cadangan mendedahkan laporannya kepada orang awam, tetapi pengerusinya Daim Zainuddin berkata, keputusan itu tidak berada di tangan beliau.

“Saya diminta untuk mempengerusikan majlis itu bagi mendapatkan maklumat, fakta, membuat analisis dan mengemukakan cadangan. Itu peranan saya dan saya tidak harus pergi lebih jauh dari itu,” kata bekas menteri kewangan itu kepada akhbar The Star.

Daim berkata, beliau mahu laporan itu yang mengandungi cadangan majlis berkenaan dikongsi dengan rakyat dan dibahaskan.

Beliau berkata, maklum balas rakyat penting kerana majlis berkenaan ditubuhkan bagi membantu kerajaan pada peringkat awal pembentukannya dan bertujuan menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.

“Bagaimanapun terdapat maklumat dalam laporan itu yang tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi (OSA),” akbar berbahasa itu memetiknya sebagai berkata.

Dua hari lepas, timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin memberitahu Dewan Rakyat bahawa laporan itu akan terus diletakkan di bawah OSA kerana ia mengandungi maklumat sulit.

Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menyuarakan kebimbangan terhadap pengumuman kerajaan itu dan berkata, dapatan CEP sepatutnya diumumkan kepada orang ramai sejak awal lagi.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali juga berkata, laporan berkenaan bukanlah isu keselamatan negara.

Daim berkata, laporan tersebut disediakan untuk Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dan mereka telah membentangkannya kepada beliau.

“Ia terserah kepada kerajaan (untuk mengumumkan laporan itu),” katanya.

Anggota CEP, pakar ekonomi, KS Jomo, yang sebelum ini berkata laporan tersebut tidak wajar didedahkan kerana “ia mengandungi maklumat sensitif yang boleh diputar belit”, kini mengubah pendiriannya berhubung perkara itu.

“Kebimbangan awal saya itu disebabkan ia (laporan CEP) mengandungi perkara sensitif dari segi undang-undang dan diplomatik, tetapi ia kini tidak ada lagi di dalam laporan itu,” beliau dilaporkan berkata.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.