
Tinjauan FMT mendapati kereta berkenaan diletak di tempat parkir berdekatan kawasan penyokong Pakatan Harapan (PH) berkumpul.
Kenderaan berwarna hitam jenis Honda Accord itu kelihatan berada di situ seawal jam 7.45 pagi lengkap dengan gencana rasmi Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri.
Selain kenderaan terbabit, FMT difahamkan beberapa kenderaan lain milik kerajaan, termasuk kenderaan rasmi timbalan speaker DUN dan seorang anggota Exco turut kelihatan di lokasi sama.
Sebelum ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan parti yang bertanding supaya tidak menyalahgunakan aset kerajaan bagi tujuan kempen.
Pemantau pilihan raya, Bersih 2.0 juga dilaporkan mendakwa PH paling banyak melakukan kesalahan ketika PRK sebelum ini, termasuk menggunakan aset kerajaan dan memberi hadiah.
Kerusi DUN Rantau diisytiharkan kosong pada 26 Februari lalu, selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan penyandangnya, Mohamad Hasan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya supaya pilihan raya diadakan semula.
Mohamad memenangi kerusi itu tanpa bertanding pada hari penamaan calon pada 28 April 2018, selepas calon PH, Dr S Streram tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon kerana tidak memiliki pas dikeluarkan oleh SPR.
Streram kemudiannya memfailkan petisyen pada 23 Mei 2018 bagi membatalkan keputusan SPR mengisytiharkan Mohamad sebagai pemenang DUN Rantau.
DUN Rantau mempunyai 20,922 pengundi berdaftar, yang terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, 118 pengundi awal dan 4 pengundi tidak hadir.
Daripada jumlah itu, 11,283 pengundi atau 55.11% adalah pengundi Melayu, 3,849 atau 18.80% Cina, 5,336 atau 26.06% India dan 0.02% lain-lain kaum.
Rantau adalah satu daripada 36 kerusi DUN di Negeri Sembilan.