‘Tok Mat menang mudah’ persepsi untuk kurangkan keluar mengundi, kata Mohamad

‘Tok Mat menang mudah’ persepsi untuk kurangkan keluar mengundi, kata Mohamad

Mohamad Hasan berhadapan dengan kerajaan dan yakin Pakatan Harapan akan guna apa jua kuasa dan kemudahan untuk pastikan kemenangan.

SEREMBAN:
Mohamad Hasan meminta pengundi DUN Rantau jangan mudah terpesona dengan cakap-cakap orang mengatakan dia akan menang mudah pada pilihan raya kecil 13 April ini.

Timbalan presiden Umno itu berkata persepsi itu sengaja disebarkan pihak tertentu supaya pengundi, khususnya yang bekerja di luar Rantau, tidak pulang melaksanakan hak mereka, dan seterusnya mengurangkan jumlah undi.

“Itu sebabnya orang cakap ‘Tok Mat boleh menang’. Itu tak betul,” katanya pada sidang media di bilik gerakan Barisan Nasional di Kampung Ulu Kanchong hari ini.

Mohamad berkata mempertahankan Rantau buat kali ke-4 ini rumit kerana BN perlu yakinkan pengundi pentingnya menampilkan pembangkang yang kuat di Dewan Undangan Negeri.

“PH bertekad menang di Rantau, bukannya kerana Rantau itu penting, kalah atau menang pun tiada apa-apa, tapi kerana yang bertanding itu Mohamad Hasan.”

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu kini merupakan ketua pembangkang di DUN, memimpin 16 wakil rakyat BN.

“Saya berhadapan dengan kerajaan dan saya yakin PH akan guna apa jua kuasa dan kemudahan untuk pastikan mereka menang.

“Sekarang pun banyak menteri datang, yang tidak ada kena mengena pun datang, orang jauh dari Rantau pun datang,” katanya.

Hari penamaan calon bagi PRK Rantau adalah esok, dan pengundi Rantau akan memilih pada 13 April ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.