Mahkamah Persekutuan sahkan peguam kanan Cecil Abraham bebas kesalahan salah laku

Mahkamah Persekutuan sahkan peguam kanan Cecil Abraham bebas kesalahan salah laku

Sebuah tribunal yang waras akan membuat kesimpulan yang sama bahawa responden tidak melakukan kesalahan tata tertib.

Peguam kanan, Cecil Abraham.(Gambar cecilabraham.com)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan hari ini mengesahkan dapatan Lembaga Disiplin Peguambela dan Peguamcara (DB) dan 2 mahkamah lebih rendah yang melepaskan peguam kanan, Cecil Abraham, daripada dakwaan salah laku profesional.

Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, David Wong Dak Wah berkata, berdasarkan hal keadaan, sebuah tribunal yang waras akan membuat kesimpulan yang sama bahawa responden tidak melakukan kesalahan tata tertib.

“Standard pembuktian ialah melampaui keraguan munasabah, dan perayu gagal membuktikan kesnya,” katanya ketika menolak rayuan yang dibawa oleh Majlis Peguam.

Wong, yang membacakan penghakiman tersebut berkata, mahkamah tertinggi itu juga mendapati tidak berlaku kesalahan terang-terangan dalam aplikasi undang-undang.

Perbicaraan rayuan itu dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Richard Malanjum berserta Wong, Ramly Ali, Mohd Zawawi Salleh dan Balia Yusof Wahi sebagai anggota panel hakim.

Bagaimanapun penghakiman tersebut dibacakan oleh panel 4 hakim susulan persaraan Balia minggu lepas.

Peguam Cecil, Rishawant Singh meminta badan peguam itu membayar kos sebanyak RM150,000 kerana kes bekenaan yang bermula pada 2015 telah dibawa ke Mahkamah Persekutuan.

Peguam Bastian Pius Vendargon yang mewakili Majlis Peguam bagaimanapun berkata, tiada tuntutan kos harus diberikan kerana badan itu hanya menjalankan fungsi statutorinya.

“Ia memfailkan kes ini berikutan keputusan ahli badan itu pada satu mesyuarat agung tahunan,” katanya.

Malanjum memutuskan tiada bayaran kos diberikan.

Tahun lepas, badan itu gagal sekali lagi dalam rayuannya terhadap keputusan lembaga disiplin melepaskan Cecil daripada apa-apa salah laku.

Ini berkaitan dengan kenyataan bersumpah (SD2) mendiang penyiasat persendirian P Balasubramaniam atau PI Bala, yang bertujuan membersihkan bekas perdana menteri Najib Razak daripada apa-apa penglibatan dalam kes bunuh berprofil tinggi warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Mahkamah Rayuan memutuskan aduan dan keterangan terhadap Cecil lompong dan umumnya tidak selamat untuk membolehkan dapatan salah laku di bawah Seksyen 94 Akta Profesion Guaman (LPA) 1976.

Panel 3 hakim diketuai Tengku Maimun Tuan Mat berkata, ia percaya bahawa surat bertarikh 4 April 2013 dan lampirannya tidak merupakan satu aduan di bawah LPA dan peraturan disiplin berkaitan.

“Intipati surat itu adalah pertanyaan langsung daripada Majlis Peguam sama ada responden (Cecil) mempunyai pengetahuan dan terlibat dalam menyediakan SD2,” kata beliau.

Tengku Maimun berkata, Cecil menjawab bahawa beliau tidak boleh mendedahkan maklumat itu seperti diperuntukkan dalam hubungan istimewa peguam-klien.

Beliau berkata, Vendargon berhujah bahawa ini merupakan satu penyimpangan dan merupakan keterangan ikut keadaan bahawa Cecil terlibat dalam penyediaan SD2.

Tengku Maimun bagaimanapun berkata, Cecil menjelaskan bahawa firmanya hanya memberi masihat berkenaan SD2 dan tertakluk kepada hubungan istimewa peguam-klien dan ia diterima oleh jawatankuasa disiplin (DC).

“Selepas memeriksa rekod, kami dapati keterangan ikut keadaan tidak membuktikan salah laku yang diadukan itu,” katanya.

Majlis Peguam memfailkan rayuan pada Mei 2016 untuk membatalkan keputusan DB dan memohon perintah bahawa Cecil didapati bersalah kerana salah laku.

Ia mendakwa DB salah dari segi undang-undang dalam mengesahkan dapatan dan syor DC.

Pada Mac, DB mengesahkan dapatan dan syor DC bahawa tidak ada hujah bagi menyokong tindakan disiplin terhadap peguam kanan itu.

Pada 5 Disember 2016, hakim Hanipah Farikulah menolak rayuan Majlis Peguam.

Satu aduan dibuat terhadap Cecil kerana didakwa menyediakan SD2 untuk PI Bala, yang merupakan saksi pendakwa dalam perbicaraan pembunuhan Altantuya.

Pada 4 Julai, 2008, PI Bala menandatangani SD2, dengan menarik balik semua kandungan SD pertamanya dan mendakwa beliau dipaksa menandatangani dokumen pertama tersebut.

Sehari sebelum ini, pada satu sidang media yang diatur oleh PKR, Bala memberitahu pemberita bahawa kandungan SD pertamanya, yang mengaitkan Najib dan beberapa yang lain dengan pembunuhan Altantuya, adalah benar.

PI Bala, saksi utama dalam perbicaraan Altantuya, meninggal dunia kerana serangan jantung pada 15 Mac 2013.

Beliau bekerja dengan penganalisis politik Abdul Razak Baginda, yang merupakan sekutu Najib, untuk memantau Altantuya sebelum beliau didapati hilang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.