
“Keadilan sudah terlaksana,” kata Gurmit Kaur kepada pemberita selepas keputusan.
Beliau berkata pembebasan itu berita baik menjelang ulangtahun ke-5 kematian Karpal.
“Saya sangat gembira dengan keputusan ini, walaupun ia 5 tahun selepas kematiannya,” katanya.
Bekas pengerusi kebangsaan DAP itu meninggal dunia pada usia 74 tahun selepas terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan berdekatan Gua Tempurung pada 17 April 2014.
Beliau ketika itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang.
Gurmit, yang menguruskan hartanya dan mewakilinya dalam rayuannya, berterima kasih kepada pasukan peguam dan mahkamah atas pengakhiran yang baik.
Pemimpin DAP, Lim Kit Siang, Presiden PKR Anwar Ibrahim dan anaknya, Nurul Izzah, turut dilihat di prosiding hari ini.
Peguam Ramkarpal Singh berkata keputusan panel 7 hakim membuktikan bapanya tidak bersalah dan menuruti kedaulatan undang-undang.
“Ini keputusan yang adil, berdasarkan fakta dan undang-undang, kerana bapa saya sentiasa bertegas dia tidak bersalah walaupun disabit kesalahan oleh 2 mahkamah sebelum ini.”
Ramkarpal bersama Karpal pada hari kejadian dan hanya mengalami cedera ringan.
Dia kini ahli Parlimen Bukit Gelugor, kerusi yang pernah disandang Karpal.
Beliau berkata mahkamah tertinggi mendapati bapanya tidak diberi perbicaraan yang adil.
“Saya lega mahkamah tertinggi sebulat suara membersihkan dia daripada tuduhan kerana mahkamah bawahan tersalah arah,” katanya.
Ramkarpal berkata Karpal bercakap mengenai pendirian undang-undang susulan krisis perlembagaan di Perak pada 2009.
“Apa yang dia sebutkan itu bukan peribadi, dan ini diiktiraf oleh mahkamah tertinggi,” katanya.
Karpal didakwa pada 2010 kerana mempersoalkan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah selepas Menteri Besar Mohammad Nizar Jamaluddin tersingkir dalam krisis itu.
Panel hakim, dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Zaharah Ibrahim memutuskan Karpal dilepas
Panel hakim yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Zaharah Ibrahim berkata, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan melakukan kesilapan arah yang serius.