Fiesta Belon Udara Panas Antarabangsa berlangsung 4 hari sehingga Ahad

Fiesta Belon Udara Panas Antarabangsa berlangsung 4 hari sehingga Ahad

Fiesta belon udara panas akan dimeriahkan dengan acara ‘night glow’ diiringi muzik dan pertunjukan bunga api

Sebanyak 20 belon udara panas diterbangkan di sekitar Putrajaya dan Cyberjaya sempena hari pembukaan Fiesta Belon Udara Panas Antarabangsa ke-10.

Semua belon berkenaan diterbangkan oleh juruterbang dari 14 negara termasuk Sepanyol, Slovakia, Brazil, Australia, Jepun, Belgium, Amerika Syarikat, United Kingdom, Korea Selatan dan Taiwan.

Belon udara panas yang diterbangkan terdiri daripada pelbagai bentuk menarik termasuklah badut, gajah, sotong dan beruang.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr. Aminuddin Hassim, berkata beliau menjangkakan lebih 200,000 pengunjung akan memeriahkan fiesta yang berlangsung selama empat hari sehingga Ahad ini.

“Apa yang menariknya, pada fiesta kali ini kita akan mengembalikan acara ‘night glow’, yang mana belon udara panas akan dinyalakan secara serentak mengikut iringan muzik dan pertunjukan bunga api.

“Selain itu, pelbagai kegiatan menarik turut diadakan sesuai dengan semua peringkat umur,” katanya.

Pelbagai kegiatan dianjurkan sempena fiesta terbabit, dengan harga tiket bermula dari RM15 hingga RM300, bergantung kepada acara yang ingin disertai.

Tiket bagi semua acara berkenaan boleh dibeli secara dalam talian di https://www.myballoonfiesta.com.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.