Brunei akan rejam hingga mati pesalah zina, gay

Brunei akan rejam hingga mati pesalah zina, gay

Kerajaan Brunei juga menetapkan hukuman potong tangan dan kaki bagi kesalahan mencuri mulai 3 April ini.

Amnesty International menggesa Brunei ‘menghentikan segera’ pelaksanaan hukuman rejam sampai mati terhadap pesalah zina dan hubungan sejenis.
KUALA LUMPUR:
Pesalah zina dan hubungan sejenis di Brunei akan direjam hingga mati mulai minggu depan, di bawah undang-undang syariah yang ditangguh selama 4 tahun kerana mendapat kritikan hebat, kata pihak berkuasa.

Negara kesultanan kecil itu akan melaksanakan kanun keseksaan baru yang tegas, yang turut menetapkan hukuman potong tangan dan kaki bagi kesalahan mencuri mulai Rabu depan.

Homoseksual dilarang di Brunei tetapi kini akan menjadi kesalahan yang membawa hukuman mati. Undang-undang itu hanya terpakai kepada orang Islam.

Penalti baru bagi kesalahan mencuri adalah potong tangan kanan untuk kesalahan pertama, dan kaki kiri bagi kesalahan ke-2.

Amnesty International pada Rabu menggesa Brunei “menghentikan segera” pelaksanaan hukuman baru itu.

“Untuk menghalalkan hukuman kejam dan tidak berperikemanusiaan ini amat mengejutkan,” kata penyelidik Brunei, Rachel Chhoa-Howard dalam satu kenyataan.

Satu notis terhadap Jabatan Peguam Negara bertarikh 29 Disember tahun lepas berkata pelaksanaan hukuman itu akan berkuatkuasa pada 3 April.

Brunei pertama kali mengumumkan langkah itu pada 2013 tetapi pelaksanaannya ditangguhkan kerana para pegawai mengkaji amalan tersebut dan mendapat kritikan daripada kumpulan hak asasi manusia.

Bagaimanapun, jurucakap Kementerian Hal Ehwal Agama Brunei pada Rabu berkata hanya Sultan Hassanal Bolkiah dijangka membuat pengumuman pada 3 April mengenai pelaksanaan undang-undang syariah yang baru tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.