6 kemungkinan 7 tulang rusuk Adib patah dalam garis lurus, kata pakar forensik

6 kemungkinan 7 tulang rusuk Adib patah dalam garis lurus, kata pakar forensik

Dr Mohd Shah Mahmood berkata, 4 kemungkinan itu anggota bomba terbabit dilanggar tangga di belakang jentera FRT dan 2 lagi dilanggar bucu kiri serta kanan belakang jentera sama.

Dr Mohd Shah Mahmood ialah saksi ke-27 inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib Mohd Kassim yang sudah melakukan lebih 1,000 bedah siasat sepanjang 13 tahun berkhidmat dalam bidang forensik.
SHAH ALAM:
Seorang pakar forensik memberitahu inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib Mohd Kassim, terdapat 6 kemungkinan yang boleh menyebabkan 7 tulang rusuk kiri belakang anggota bomba itu patah dalam susunan garis lurus menegak.

Dr Mohd Shah Mahmood yang mengetuai Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur berkata, 4 kemungkinan itu ialah dilanggar tangga di belakang kenderaan Fire Rescue Tender (FRT), manakala 2 lagi ialah dilanggar bucu kiri dan kanan belakang jentera bomba itu.

Beliau berkata, pihaknya dipanggil membantu polis melakukan lakonan semula insiden itu di tempat kejadian pada 22 Disember lalu dan kemungkinan itu diperolehi daripada lakonan semula berkenaan.

Katanya, berdasarkan teorinya, Adib yang duduk bersebelahan pemandu van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), mungkin keluar dari van sendiri, ketika jentera FRT berundur dan terlanggar van EMRS.

Saksi ke-27 inkues itu berkata, Adib kemudiannya mungkin terlanggar bucu pintu kiri depan van EMRS yang terbuka.

“Kami dapati pintu depan kiri (van EMRS) ada bucu pintu yang nipis dan menegak dengan anggaran 2mm. Hanya ketika itu, kami berpandangan (bucu pintu ialah) objek tumpul dan nipis, sangat bersesuaian dengan kecederaan unik tulang rusuk kiri yang patah secara menegak.”

Beliau berkata, kunci pintu kiri depan van EMRS itu menonjol dan sepadan dengan calar kiri 15cm di belakang abdomen Adib.

Shah turut menyifatkan 7 tulang rusuk kiri Adib patah secara lurus dan menegak yang dikesan ketika bedah siasat pada 18 Disember lalu, sebagai unik.

“Sepanjang saya bekerja dan mengendalikan lebih 1,000 bedah siasat, ini kali pertama saya lihat kecederaan itu,” katanya yang sudah 13 tahun berkhidmat dalam bidang itu, ketika menjawab soalan pegawai pengendali inkues, Hamdan Hamzah di Mahkamah Koroner Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan klinikal di Institut Jantung Negara tidak menemui sebarang kesan lebam dan calar di kiri belakang Adib.

Katanya, berdasarkan satu rakaman video insiden itu selama 46 saat yang dikemukakan di mahkamah hari ini, agak mustahil kecederaan Adib itu disebabkan beliau ditarik keluar dari van EMRS oleh individu lain.

Beliau berkata, untuk menarik Adib, individu itu perlu bergerak mengikut kelajuan van EMRS yang sedang berundur sambil membuka pintu.

“Kalau berjaya ditarik pun, padanan corak kecederaan berbeza.”

Shah berkata, bedah siasat turut mendapati kesan kecederaan Adib tidak menunjukkan beliau dipukul atau diserang kerana tiada kecederaan bercorak tangkisan atau mempertahankan diri pada tangan serta kaki mangsa.

Adib, 24, antara anggota EMRS dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya yang dikerahkan ke sekitar Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, selepas beberapa kereta dibakar pada 27 November lalu.

Anggota bomba itu yang parah dalam keganasan di luar kuil itu, meninggal dunia 17 Disember lalu, 3 minggu selepas dirawat di IJN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.