
Filem animasi Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal terus berjaya mencatat kutipan yang memberansangkan.
Menurut Penerbit dan Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Sdn Bhd, Burhanuddin Md Radzi meskipun dicemari insiden ‘curi rakam’, kutipan mencecah RM5.3 juta selepas ia mula ditayangkan di pawagam seluruh negara, Khamis lalu.
Dan jumlah itu diperoleh bagi tempoh empat hari pertama tayangan.
“Alhamdulillah… filem ini sudah mengutip RM5.3 juta. Kita berharap filem ini terus mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat sepanjang tempoh tayangan.
“Saya berharap Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal mengulangi fenomena dan kemasyhuran judul terdahulu,” katanya kepada FMT.
Filem terbitan Les’ Copaque yang membabitkan 100 peratus kepakaran anak tempatan itu membelanjakan sejumlah wang yang besar bagi menghasilkan filem terbaru Upin & Ipin.
“Saya merayu orang ramai agar tidak melakukan apa yang dikatakan ‘curi rakam’ ketika menonton filem ini di pawagam.
“Ini kerana masih ramai peminat yang belum berpeluang ke pawagam untuk menonton. Filem animasi ini dihasilkan secara berkualiti untuk pasaran global, jadi saya minta usah viralkan karya ini secara percuma,” katanya.
Tambahnya mengikut perancangan, filem ini akan ditayangkan di Vietnam pada 27 April depan, disusuli Indonesia pada 9 Mei. Kita juga berharap filem ini menembusi pasaran China dan Taiwan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]