Menteri Sabah Stephen Wong meninggal dunia

Menteri Sabah Stephen Wong meninggal dunia

Stephen Wong dipercayai mengalami serangan jantung ketika menyertai aktiviti mendaki berkumpulan awal pagi ini.

Stephen Wong berusia 64 tahun. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Stephen Wong Tien Fatt meninggal dunia hari ini, pada usia 64 tahun.

Pengerusi DAP Sabah itu dilaporkan menyertai aktiviti mendaki berkumpulan di Tambaig Adventure Park, Kampung Duvanson, Putatan, awal hari ini.

Beliau dipercayai mengalami serangan jantung.

Wong ialah ahli Parlimen Sandakan selama 2 penggal. Beliau memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum 2013 dan berjaya mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya umum tahun lalu.

Di Dewan Rakyat, semua ahli Parlimen bertafakur selama seminit bagi memberi penghormatan atas pemergian Wong.

Timbalan Speaker, Nga Kor Ming berkata kematian Wong adalah satu kehilangan besar kepada negara, sambil menambah ahli Parlimen Sandakan itu sentiasa menyumbang kepada Parlimen.

Beliau juga mengucapkan takziah kepada keluarga Wong.

Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal, ketika ditemui di Hospital Queen Elizabeth berkata, beliau diberitahu oleh doktor bahawa Wong dibawa ke hospital itu kira-kira pukul 9 pagi setelah mengadu sakit dada.

Beliau berkata kerajaan negeri kehilangan seorang anak jati Sabah yang juga seorang menteri yang sentiasa komited terhadap kerjanya.

“Kami kehilangan seorang kawan hari ini, dan seorang pejuang. Ini adalah masa untuk kita berkabung dengan keluarganya.

“Wong adalah pemimpin yang banyak menyumbang kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, veteran DAP Lim Kit Siang berkata Wong berkhidmat dengan baik untuk negara ini.

“Dia adalah seorang ahli politik yang berdedikasi untuk kesejahteraan dan kehebatan Malaysia dan Sabah, seorang yang menjadi contoh tidak ada percanggahan, pada masa yang sama, rakyat Malaysia dan anak jati Sabah yang hebat,” katanya dalam kenyataan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata Wong percaya kepada “semangat” dalam agenda parti untuk Malaysia yang berbilang kaum dan berbilang budaya “yang menghormati kedaulatan undang-undang, menegakkan hak Sabah, dan meraikan kepelbagaian”.

Dalam satu kenyataan, beliau menambah Wong adalah “saksi dan pemain utama dalam sejarah untuk kedua-dua negeri dan negara” melalui peranannya dalam pilihan raya umum yang lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.