Ismail Sabri tak pasti penghantaran surat berhenti ahli PAC pembangkang

Ismail Sabri tak pasti penghantaran surat berhenti ahli PAC pembangkang

Ketua pembangkang itu berkata keputusan 3 ahli Parlimennya tidak hadir ke mesyuarat PAC membuktikan komitmen mereka memboikot mesyuarat tersebut.

Ismail Sabri Yaakob berkata pembangkang hanya akan terlibat dalam mesyuarat PAC sekiranya Ronald Kiandee digantikan dengan individu lain dari pembangkang.
KUALA LUMPUR:
Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob tidak mengetahui sama ada 3 wakil rakyat pembangkang sudah menyerahkan surat letak jawatan ataupun tidak kepada speaker Dewan Rakyat sebagai ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Ismail bagaimanapun berkata, keputusan 3 ahli Parlimen pembangkang yang tidak hadir ke mesyuarat PAC semalam, membuktikan komitmen mereka memboikot mesyuarat tersebut sehingga pengerusi baru dilantik dalam jawatankuasa berkenaan.

“Saya tidak tahu. Saya cuma buat keputusan dari segi letak jawatan tetapi dari segi menghantar surat letak jawatan itu terserah.

“Saya juga belum semak lagi, belum tanya lagi. Mereka tidak datang baru-baru ini dalam mesyuarat, mereka sudah tidak pergi.

“Semua wakil rakyat pembangkang tidak hadir. Maknanya dari segi perletakan jawatan itu sudah nampak ada tindakan,” katanya sewaktu ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Isnin lalu, 3 ahli Parlimen pembangkang yang meng­anggotai PAC memutuskan untuk meletakkan jawatan serta-merta susulan tidak berpuas hati dengan pelantikan Ronald Kiandee sebagai pengerusi jawatankuasa berkenaan. Ronald masih kekal menyandang jawatan pengerusi PAC walaupun melompat daripada Umno dan menyertai PPBM pada 15 Mac lalu.

Keputusan itu diambil kerana kecewa dengan Pakatan Harapan yang tidak menunaikan janji dalam manifesto untuk melantik pengerusi PAC dalam kalangan ahli Parlimen pembangkang.

Mereka yang meletak jawatan adalah 2 wakil Barisan Nasional (BN) iaitu Ahli Parlimen Parit Sulong, Noraini Ahmad dan Ahli Parlimen Jasin, Ahmad Hamzah serta seorang daripada PAS iaitu Ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan.

Jumaat lalu, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar turut meletakkan jawatan sebagai ahli PAC kerana tidak berpuas hati dengan kepemimpinan PAC.

Menurut Ismail, pembangkang hanya akan terlibat dalam mesyuarat PAC sekiranya Ronald digantikan dengan individu lain dari pembangkang.

“Kalau pembangkang yang dilantik, kita akan sokong balik sebab itu janji manifesto. Ini bukan soal pembangkang semata-mata tetapi semua pihak tidak setuju kerana ia melibatkan semak dan imbang.

“Lebih baik dipengerusikan pembangkang, sebab isu yang dibawa oleh PAC melibatkan kerajaan dan kementerian serta agensi dari kementerian. Bila dipengerusikan pembangkang, persepsi rakyat nampak kerajaan telus,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.