Daftar pemandu e-hailing bermula April

Daftar pemandu e-hailing bermula April

Modul latihan Lesen (PSV – Teksi/E-hailing) yang terlibat adalah selama 6 jam dengan kadar yuran siling yang ditetapkan kerajaan sebanyak RM200.

Pemandu atau bakal pemandu perkhidmatan e-hailing dikehendaki memiliki Lesen (PSV – Teksi/E-hailing) di di Institut Memandu dan Pusat Latihan Memandu eHO.
KUALA LUMPUR:
Pemandu atau bakal pemandu perkhidmatan e-hailing yang memenuhi syarat memohon Lesen Vokasional (PSV – Teksi/E-hailing) boleh mendaftar di Institut Memandu dan Pusat Latihan Memandu E-hailing Operator (eHO) yang diiktiraf Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula 1 April ini.

Menurut JPJ dalam satu kenyataan semalam, modul latihan Lesen (PSV – Teksi/E-hailing) yang terlibat adalah selama 6 jam dengan kadar yuran siling yang ditetapkan oleh kerajaan sebanyak RM200.

“Pelaksanaan ini melibatkan pemandu dan kenderaan e-hailing yang bertindak sebagai kenderaan perkhidmatan awam, yang setara dengan pemandu kenderaan perkhidmatan teksi, kereta sewa dan teksi mewah.

Oleh itu, mana-mana pemandu atau bakal pemandu perkhidmatan e-hailing hendaklah memiliki Lesen (PSV – Teksi/E-hailing) seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 56, Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ 1987),” menurut kenyataan itu.

JPJ akan mengeluarkan dan mencetak bentuk fizikal lesen vokasional yang baru manakala lesen pemandu teksi sedia ada iaitu Lesen Vokasional (PSV–Teksi) akan dikemas kini kepada bentuk fizikal baru ketika pemandu berkenaan membuat pembaharuan Lesen Vokasional (PSV).

“Kadar fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) kenderaan persendirian e-hailing pula masih kekal seperti kenderaan persendirian individu iaitu mengikut kuasa enjin (cc) kenderaan, termasuk Sabah dan Sarawak. Bagaimanapun, sebarang perubahan kadar fi akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, kenderaan yang digunakan sebagai kenderaan perkhidmatan e-hailing yang usianya kurang daripada 3 tahun hendaklah menjalani proses tukar kegunaan daripada Kenderaan Persendirian Individu kepada Kenderaan Persendirian e-hailing bagi mematuhi peruntukan di bawah Seksyen 12(2), Seksyen 12(3) dan Seksyen 12(4) APJ 1987.

“Permohonan tukar guna tersebut boleh dikemukakan pemandu e-hailing atau pembawa dokumen di mana-mana Pejabat JPJ Negeri dan cawangan di seluruh negara kecuali UTC (Pusat Transformasi Bandar) bermula 1 April,” katanya.

Bagi proses tersebut, pemohon perlu melampirkan beberapa dokumen sokongan seperti Borang JPJK8 (Pind.1/2016) – Borang Pindaan/Pembetulan Butir Kenderaan dan Pemilik Berdaftar Seksyen 12 APJ 1987, Borang Pengisytiharan Kenderaan Persendirian e-hailing (JPJ-EH1), Maklumat Laporan Pemeriksaan Berkala PUSPAKOM (VR1) yang berkuat kuasa bagi kenderaan yang mencapai had usia 3 tahun dari tarikh pendaftaran, borang pengesahan e-hailing (Electronic Vehicle Permit – eVP) dan Kategori kenderaan yang dibenarkan adalah jenis motokar, jip, van, kenderaan pelbagai utiliti dan pikap (bagi Sabah dan Sarawak sahaja).

JPJ juga menjelaskan, semua kenderaan persendirian e-hailing perlu melekatkan pelekat khas kenderaan e-hailing yang akan dikeluarkan oleh pihak eHO seperti garis panduan yang ditetapkan oleh JPJ.

“Selain itu, bagi kenderaan yang mencapai usia 3 tahun dan ke atas dari tarikh pendaftaran hendaklah menjalani Pemeriksaan Awalan Terpakai di Puspakom terlebih dahulu sebelum melakukan penukaran kod kegunaan di JPJ,” katanya.

Pemeriksaan itu boleh dilakukan di 54 cawangan Puspakom di seluruh negara dan 8 Puspakom bergerak yang menyediakan perkhidmatan pemeriksaan bagi kenderaan e-hailing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.