Boeing umum kemas kini perisian pesawat 737 MAX

Boeing umum kemas kini perisian pesawat 737 MAX

Boeing mengemaskini sistem kawalan MCAS anti-pegun bagi memberi lapisan perlindungan tambahan untuk mengelak bacaan data salah sensor.

Persamaan antara nahas Lion Air dan Ethiopian Airlines mendorong semua pesawat Boeing 737 MAX di seluruh dunia dilarang terbang. (Gambar Reuters)
SAN FRANCISCO:
Pengeluar kapal terbang utama Amerika Syarikat, Boeing Company pada Rabu mengumumkan perisian yang dikemaskini untuk menangani masalah sistem kawalan penerbangan ke atas jet 737 MAX, yang sebelum ini dikatakan menjadi punca 2 nahas udara dalam tempoh 5 bulan, lapor agensi berita Xinhua.

Boeing menyatakan, ia sudah mengemaskini sistem kawalan “Maneuvering Characteristics Augmentation System” (MCAS) anti-pegun bagi memberikan lapisan perlindungan tambahan untuk mengelak bacaan data salah daripada sensor.

Sistem kawalan penerbangan itu akan membandingkan 2 input daripada sensor AOA berbanding hanya 1 saja sebelum ini dan jika wujud percanggahan sebanyak 5.5 darjah atau lebih dengan sirip sayap tertutup, MCAS tidak akan berfungsi, jelas Boeing.

Jika timbul masalah, MCAS tidak akan dibenarkan melakukan arahan penstabilan pesawat automatik lebih daripada apa yang cuba diperbetulkan oleh krew penerbangan.

Juruterbang akan mempunyai lebih banyak keupayaan untuk membatalkan arahan MCAS dan secara manual mengendalikan kapal terbang, kata Boeing.

Syarikat itu menambah, ia juga sudah mengeluarkan program latihan komputer yang sudah dikemaskini untuk semua juruterbang 737 MAX bagi memberi kefahaman lebih terhadap Buletin Operasi Manual, Senarai Semak Kegagalan Luar Biasa Mengurangkan Kelajuan serta mengemaskini Buku Panduan Rujukan Pantas.

Kemaskini perisian itu termasuk maklumat mengenai penambahbaikan MCAS yang menjadi perkara utama bagi menghalang keadaan pegun tidak terkawal yang dikatakan mempunyai kaitan dengan nahas pesawat 610 Lion Air Indonesia yang mengorbankan 189 penumpang pada Oktober lalu.

Boeing berkata, perisian baru itu sudah melalui beratus-ratus jam analisis, ujian makmal, pengesahan dalam similator dan dua penerbangan ujian, termasuk ujian bersama wakil Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA).

“Boeing berada dalam kedudukan yang agak tegang berikutan siasatan badan penyiasat serta orang awam berikutan kebimbangan terhadap keselamatan pesawat 737 MAX yang terbabit dalam nahas pesawat Habsyah, Ethiopian Airlines Penerbangan 302 pada pertengahan Mac, yang mengorbankan semua 149 penumpang dan lapan krew,” menurut kenyataan itu.

Persamaan antara nahas Lion Air dan Ethiopian Airlines mendorong semua pesawat Boeing 737 MAX di seluruh dunia, dilarang terbang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.