
Mohamad Firdhaus Ramli dari Jabatan Kimia berkata, beliau tidak menjumpai sebarang kesan serat pakaian, darah atau rambut pada permukaan jentera Fire Rescue Tender (FRT) atau van EMRS.
“Saya diminta menjalankan pemeriksaan di luar jentera dan van berdasarkan satu laporan polis Subang Jaya.
“Tiada kesan DNA di luar jentera bomba dan van kecemasan itu,” katanya menjawab soalan pegawai pengendali inkues, Faten Hadni Khairuddin, jika ada kesan biologi pada kenderaan itu yang diserang ketika rusuhan berlaku.
Firdhaus bagaimanapun tidak menolak kemungkinan kesan biologi mungkin hilang disebabkan faktor cuaca dan alam sekitar yang lain.
“Saya diberitahu untuk menjalankan pemeriksaan ke atas van dan jentera pada 5 Disember tahun lalu.
“Saya mendapati jentera bomba itu rosak di bahagian kiri belakang dan cermin depannya pecah, manakala van itu rosak di bahagian depannya.”
Kerajaan memutuskan untuk mengadakan inkues susulan dakwaan bercanggah mengenai punca kematian Adib.
Inkues yang bermula 11 Februari lalu itu, dijangka berlangsung selama 52 hari.
Adib, 24, antara anggota EMRS dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya yang dikerahkan ke sekitar kuil di USJ 25, Subang Jaya, selepas beberapa kereta dibakar pada 27 November lalu.
Anggota bomba itu yang parah dalam keganasan di luar Kuil Sri Maha Mariamman, meninggal dunia 17 Disember lalu, 3 minggu selepas dirawat di Institut Jantung Negara.