Anwar gesa PAC jumpa Dr M selesaikan isu pengerusi

Anwar gesa PAC jumpa Dr M selesaikan isu pengerusi

Pakatan Harapan tidak akan sekali-kali mengabaikan janji melantik pembangkang sebagai pengerusi PAC.

Anwar Ibrahim.
KUALA LUMPUR:
Anwar Ibrahim menggesa Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bertemu Dr Mahathir Mohamad bagi menyelesaikan pelantikan pengerusi baru, selepas keputusan mengekalkan Ronald Kiandee membawa kepada peletakan keanggotaan 4 ahli PAC.

Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Dewan Rakyat itu mengingatkan Pakatan Harapan tidak akan sekali-kali mengabaikan janji melantik ahli Parlimen pembangkang sebagai pengerusi PAC.

“Adalah menjadi tanggungjawab PAC untuk membincangkan isu ini, sekali lagi, dengan perdana menteri memandangkan pandangan dan kedudukannya mengenai perkara ini penting, sam ada kita patut tanganinya dengan segera atau sebaliknya,” katanya selepas mesyuarat kaukus di Parlimen petang tadi.

Beliau sempat bergurau dengan pemberita mengatakan dia juga layak menjadi pengerusi jawatankuasa semak dan imbang itu.

“Siapa yang lebih layak jadi pengerusi PAC? Kalau ikutkan saya pun boleh jadi,” katanya.

Ditanya pemberita apakah kelewatan melantik pengerusi baru daripada kalangan wakil rakyat pembangkang akan menjejaskan agenda reformasi PH, Anwar tidak bersetuju sama sekali.

“Kalau setakat tempoh beberapa minggu tidak akan menjadi masalah,” katanya.

Ronald Kiandee dilantik sebagai pengerusi PAC pada Ogos 2018 dan keluar Umno pada Disember 2018 sebelum menyertai PPBM pada 15 Mac lalu.

Kedudukan Ronald mula dipersoal kerana manifesto PH memperuntukkan pengerusi PAC dilantik dalam kalangan pemimpin pembangkang.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar selaku anggota PAC membuat keputusan mengejut dengan meletakkan jawatan selepas dikatakan tidak berpuas hati dengan pemilihan kepemimpinan PAC.

Anwar juga memberi reaksi ringkas apabila ditanya sama ada dia akan memujuk anaknya itu memberi gambaran tidak akan bertanding kerusi Parlimen pada pilihan raya akan datang.

“Saya rasa awak patut pujuknya,” katanya dengan nada seloroh.

Sebelum ini, Mahathir mengumumkan kerajaan sedang mempertimbangkan calon yang sesuai bagi memegang jawatan pengerusi PAC dan Ronald akan kekal mengetuai jawatankuasa itu buat sementara waktu.

Bercakap mengenai mesyuarat petang tadi, Anwar berkata kaukus bersetuju untuk memulihkan integriti Parlimen dengan mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen 1963.

Beliau berkata kaukus akan bertemu speaker Dewan Rakyat esok bagi membincangkan soal pembentangan.

Hadir di mesyuarat petang tadi adalah Ahli Parlimen Jeli, Mustapa Mohamed, Edmund R Santhara Kumar (Segamat), Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya), Ma’mun Sulaiman (Kalabakan), Lim Kit Siang (Iskandar Puteri), Nazri Aziz (Padang Rengas) dan Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Santubong).

“Dahulu akta ini ada tapi dimansuhkan dan sekarang kita nak hidupkan balik dengan format baru dan peruntukan yang dikemaskini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.