
Ditemui pemberita di satu program di Seremban hari ini, menteri besar Negeri Sembilan itu berkata surat peletakan jawatan akan ditulis dalam masa terdekat bagi menghormati keputusan mesyuarat itu.
“Saya tak ada masalah,” katanya, dan menambah perlembagaan kelab membolehkan penjualan arak di situ.
“Tetapi saya akan letak jawatan. Cuma belum sempat nak tulis hari ini. Pada dasarnya saya sudah meletak jawatan,” katanya.
Semalam, seramai 135 ahli berbayar SIGC menolak larangan penjualan arak yang diputuskan jawatankuasa pengurusan kelab pada satu mesyuarat 20 Ogos tahun lalu.
Aminuddin tidak menghadiri EGM kelab milik kerajaan negeri itu. Mesyuarat semalam dipengerusikan Naib Presiden Razali Ab Malik, yang juga setiausaha kerajaan negeri.
Aminuddin mengumumkan dia sedia melepaskan jawatan presiden kelab sekiranya larangan menjual arak ditarik balik pada 21 Mac lalu.