
Noor Amin berkata, Lokman menuduh beliau mengugut wanita tersebut, yang hanya dikenali sebagai “Cik Miera” dan dipercayai merupakan jururawat di Institut Jantung Negara (IJN).
Beliau mendakwa mengetahui perkara sebenar tentang bagaimana Adib meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami dalam rusuhan di kuil Seafiled tahun lepas.
“Cik Miera” mendakwa dalam satu catatan Facebook bahawa Adib diserang. Beliau menolak testimoni yang dibuat oleh seorang pakar forensik dalam inkues berkaitan kemaitan Adib.
Pakar tersebut berkata, kecederaan yang dialami Adib tidak konsisten dengan dakwaan beliau dipukul.
Noor Amin berkata, beliau hanya meminta “Cik Miera” supaya tampil sebagai saksi dalam inkues tersebut.
“Saya minta gadis itu memberi keterangan dan tidak menyembunyikan kebenaran jika kenyataannya itu benar,” katanya seperti dipetik oleh Bernama selepas membuat laporan di Balai Polis Kangar hari ini.
Noor Amin berkata, Lokman sebaliknya menuduh beliau mengugut jururawat tersebut dan tuduhan itu bersifat memfitnah.
“Dakwaan Lokman boleh memberi implikasi besar dan mengganggu proses siasatan kes berkenaan,” katanya.
Muhammad Adib merupakan salah seorang anggota pasukan Khidmat Kecemasan Penyelamat Perubatan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya yang ditugaskan ke kuil Sri Maha Mariamman di Seafield pada 27 Nov tahun lepas.
Beliau dipercayai diserang di situ.
Inkues ke atas kematian beliau diadakan oleh kerajaan tahun ini berikutan percanggahan pendapat tentang punca kematian anggota bomba berkenaan susulan rusuhan yang berlaku di Seafield.
Seorang pakar patologi, Dr Ahmad Hafizam Hasmi baru-baru ini berkata, Adib tidak dipukul berdasarkan corak kecederaan yang biasa ditemui pada tubuh mangsa.