
“Ia adalah sebahagian daripada video yang lebih panjang. Sebelum itu, saya tenang. Saya hilang sabar selepas seketika kerana merasakan pegawai itu menyukarkan keadaan dan tidak bertimbang rasa,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, pertengkaran bermula ketika mereka membincangkan keadaan di dewan serbaguna Kampung Air yang dijadikan pusat penempatan sementara untuk mangsa kebakaran di Sandakan baru-baru ini.
SESB memutuskan bekalan elektrik ke dewan serbaguna itu kerana MPS belum menjelaskan hutang hampir RM3,000 selama 2 tahun.
“Saya diberitahu keadaan di dalam dewan sangat panas dan SESB memutuskan ia adalah masa baik untuk mengutip hutang tertunggak itu,” kata Hii sambil menambah beliau menjadi marah apabila pegawai itu enggan mengambil wang berkenaan dan bertegas bayaran perlu dibuat di pejabat SESB.
Katanya, SESB sepatutnya lebih fleksibel dalam keadaan sedemikian dan beliau akan menyaman pihak sengaja memburukkan imejnya dengan menyebarkan video itu.
Beliau menamakan sebuah akhbar tempatan berbahasa Cina dan sebuah portal berita sebagai dalang.
“Saya sudah berunding dengan peguam saya dan akan saman mereka kerana menggelar saya gengster.”
Beliau mendakwa seorang daripada pembantunya mempunyai rakaman video penuh itu.
Hii ialah seorang ahli perniagaan dari Sarawak yang dipilih Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal untuk mengetuai MPS pada September tahun lalu.
Pelantikannya dikritik beberapa pihak atas alasan beliau bukan orang Sabah dan tidak pernah berkhidmat dalam sektor awam.
Januari lalu, satu salinan lesen berniaga yang tertera namanya tersebar dan beliau didakwa menyalahgunakan kuasanya untuk meluluskan lesen itu.
Bagaimanapun, Hii berkata, lesen itu dikeluarkan bekas presiden MPS, James Wong pada 2018, sebelum diperbaharui Timbalan Presiden MPS, Hamsan Awang Supain.