Terima kasih Malaysia atas sokongan anda, kata wakil NZ

Terima kasih Malaysia atas sokongan anda, kata wakil NZ

Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia, Hunter Nottage mengucapkan takziah kepada keluarga Muhammad Haziq Mohd Tarmizi yang terkorban dalam serangan di Christchurch minggu lalu.

Pesuruhjaya Tinggi New Zealand, Hunter Nottage (tengah) bersama wakil Suruhanjaya Tinggi Australia dan Turki berucap pada Perhimpunan Solidariti Kedamaian di Dataran Merdeka hari ini. (Gambar Twitter)
KUALA LUMPUR:
New Zealand mengucapkan terima kasih kepada Malaysia atas sokongan kepada negara itu susulan serangan di 2 masjid di Christchurch minggu lalu yang meragut 50 nyawa.

Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia, Hunter Nottage mengucapkan takziah kepada keluarga Muhammad Haziq Mohd Tarmizi yang terkorban dalam tembakan rambang itu.

“Kita juga merasai penderitaan ahli keluarga. Kami minta maaf,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Solidariti Kedamaian di Dataran Merdeka, hari ini.

Zarina Shuib (2 dari kiri), ibu saudara Muhammad Haziq Mohd Tamizi yang terbunuh dalam serangan di sebuah masjid di New Zealand, menahan sebak ketika berucap dalam Perhimpunan Solidariti Kedamaian.

Beliau menghargai usaha Malaysia menganjurkan Perhimpunan Solidariti Kedamaian yang dihadiri rakyat, anggota Kabinet dan ketua pelbagai agama di negara ini.

Sementara itu, Zarina Shuib yang merupakan ibu saudara Haziq dan kakak kepada mangsa cedera, Mohd Tarmizi Shuib, terharu dengan sokongan rakyat yang ditunjukkan menerusi Perhimpunan Solidariti Kedamaian.

“Sesungguhnya ujian berat menimpa saudara kami di New Zealand yang mana adik kami (Tarmizi) cedera dan anak saudara kami (Haziq) meninggalkan kami buat selama-lamanya akibat serangan berkenaan.

“Biarpun ujian berat ini diterima, namun kami reda dengan pemergian Haziq dan wajib menerima ketentuan-Nya.

“Kami menyokong usaha ini bagi menyatakan kebersamaaan masyarakat dan rakyat Malaysia agar keamanan dan kedamaian tanpa mengira agama, kaum dan bangsa,” katanya sambil menahan sebak ketika berucap di atas pentas.

Haziq ialah anak ke-2 Tarmizi, 42, yang parah ditembak dalam serangan di Masjid Al Noor, pada 15 Mac lalu.

Seorang lagi anak Tarmizi, Mohd Haris, 12, terselamat tetapi trauma.

Selain Tarmizi, 2 lagi rakyat Malaysia, Muhammad Nazril Hisham Omar dan Rahimi Ahmad turut cedera dalam serangan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.