
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Habibi Majinji dalam satu kenyataan hari ini berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa yang berasal dari Kampung Pondo Pulau Gaya dan tiada pengenalan diri, mati di tempat kejadian dengan kedua-dua kaki dan tangannya terputus.
Katanya, letupan itu turut memecahkan sampan digunakan mangsa ketika hendak melontar bom ikan itu.
Polis dimaklumkan kejadian itu oleh pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia yang terdengar bunyi letupan, ketika melabuhkan bot di tepi pantai pulau berhampiran kira-kira 10.30 pagi Jumaat.
Habibi berkata, pegawai APMM itu ternampak seorang kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun berdiri di tepi pantai sedang menangis dan memberitahu kejadian itu.
Katanya, kanak-kanak itu membawa pegawai APMM ke tempat kejadian dan menemui mayat remaja itu dalam keadaan terapung.
Beliau berkata, polis marin bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat mengangkat mayat mangsa yang kemudiannya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat.