1 rakyat Malaysia cedera ditembak di NZ dibenarkan keluar hospital

1 rakyat Malaysia cedera ditembak di NZ dibenarkan keluar hospital

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa berkata, Mohd Nazril Hisham Omar sudah dipindahkan ke wad biasa, manakala Rahimi Ahmad tidak lagi bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

Mujahid melawat Mohd Tarmizi Shuib ketika beliau dirawat di Hospital Christchurch, Jumaat lalu. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Rakyat Malaysia, Mohd Tarmizi Shuib, 42, yang cedera ditembak dalam serangan di Christchurch, New Zealand, 15 Mac lalu dibenarkan keluar hospital semalam.

Perkembangan itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa hari ini.

“Tarmizi sudah berada di rumah (New Zealand) dan masih bertongkat kerana ada serpihan peluru di punggungnya,” katanya selepas Perhimpunan Solidariti Kedamaian di Dataran Merdeka hari ini.

Mujahid tiba di tanah air 5 pagi tadi, selepas ke New Zealand untuk melawat rakyat Malaysia yang terbabit dalam kejadian itu.

Tarmizi antara 3 rakyat Malaysia yang cedera dalam tragedi berdarah di 2 masjid di Christchurch yang mengorbankan 50 nyawa, termasuk anaknya, Muhamad Haziq, 17.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, Mohd Nazril Hisham Omar, 46, yang menerima rawatan di unit rawatan rapi Hospital Christchurch sudah dipindahkan ke wad biasa.

“Nazrul di wad biasa dan boleh duduk, namun perlu rawatan susulan kerana masih ada serpihan peluru di kaki.

“Rahimi (Ahmad, 39) pula baru buka life support (alat bantuan pernafasan). Boleh bernafas sendiri dan bercakap.”

Katanya, semua mangsa mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mendoakan mereka di sana.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.