
Beliau yang bertugas di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur berkata, imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) mendapati tulang rusuk ke-2 hingga ke-5 Adib patah.
“Tulang rusuk kanan ke-2 hingga ke-5 patah pada bahagian depan dan sisi. Tulang rusuk ke-3 patah pada 3 tempat dan tulang rusuk ke-4 patah di 2 tempat. Patah ini boleh dilihat pada CT Scan.
“CT Scan ini dibuat sebelum mayat dibedah siasat. Menerusi lampiran gambar turut menunjukkan tulang rusuk ke-2 hingga ke-5 pada bahagian kanan.
“Hujung tulang rusuk ke-4 dan ke-5 tertusuk ke bahagian paru-paru kanan,” katanya dalam inkues menentukan punca kematian Adib di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.
Beliau ialah saksi ke-24 dalam inkues yang memasuki hari ke-16. Sebelum ini, beliau pernah menjadi saksi dalam kes kematian Timbalan Pendakwa Raya, Anthony Kevin Morais.
Hafizam berkata, bahagian kepala, mulut dan leher Adib tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, otak Adib mempunyai kesan hijau disebabkan kesan sampingan ubat “Methylene Blue” yang diambil dalam rawatan.
“Saya seterusnya menjalani pemeriksaan dalaman di bahagian kepala, mulut dan leher. Kulit kepala tidak menunjukkan kecederaan, tulang tengkorak dan dasar tengkorak tidak pecah atau retak.
“Otak si mati bengkak dan berwarna kehijauan seperti saya nyatakan dalam laporan bedah siasat. Tidak ada pendarahan dalam selaput otak atau tisu otak.
“Otak yang warna hijau ini disebabkan sejenis ubat yang diberikan sewaktu si mati dirawat di Institut Jantung Negara. Otak manusia yang normal tidak warna kehijauan. Ia adalah akibat tindak balas ubat.”
Hafizam berkata, ketika menerima jenazah Adib sebelum memulakan bedah siasat, suhu badan mangsa masih panas dan sfera di kedua-dua matanya berwarna kekuningan.
“Mayat masih panas sewaktu disentuh dan lebam masih tidak hilang. Kulit badan kekuningan, sfera mata di kedua-dua mata juga kekuningan.
“Mayat si mati bengkak air dan terdapat kesan pendarahan pada bawah kulit.”