Polis benarkan himpunan ‘Solidariti Kedamaian’ anjuran kerajaan sehingga 11 pagi

Polis benarkan himpunan ‘Solidariti Kedamaian’ anjuran kerajaan sehingga 11 pagi

Ketua polis negara berkata, penganjur sudah menghantar notis perhimpunan itu kepada pihaknya.

Peserta akan mula berhimpunan di depan pusat membeli-belah Sogo, sebelum berarak ke Dataran Merdeka, esok. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Polis membenarkan perhimpunan “Solidariti Kedamaian” anjuran kerajaan diadakan di Dataran Merdeka dari 7.30 hingga 11 pagi esok.

“Notis sudah diberi kepada kami dan kami beri kebenaran, mereka perlu patuhi syarat ditetapkan,” kata Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun dalam sidang media hari ini.

Rabu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa dilapor menasihatkan peserta perhimpunan itu berpakaian putih tanpa sebarang logo parti politik.

Seramai 5,000 hingga 10,000 orang, termasuk lebih 50 badan bukan kerajaan dan persatuan agama dijangka menyertai perhimpunan itu yang bermula di depan pusat membeli-belah Sogo, sebelum berarak ke Dataran Merdeka.

Matlamat perhimpunan itu ialah menghantar mesej kepada seluruh dunia yang rakyat Malaysia mahu keamanan dan menolak sebarang keganasan, susulan tembakan rambang di 2 masjid di New Zealand minggu lalu yang meragut 50 nyawa.

Sementara itu, Fuzi berkata, juruterbang sebuah pesawat persendirian sudah tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan kemalangan di landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, awal pagi Isnin lalu.

Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali, 39, pemandu kenderaan kejuruteraan lapangan terbang itu meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh pada 6.45 petang Selasa lalu, sehari selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah pesawat persendirian di landasan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.