Mujahid sertai acara berkabung pada solat Jumaat di Christchurch

Mujahid sertai acara berkabung pada solat Jumaat di Christchurch

Mujahid Yusof Rawa berterima kasih kepada kerajaan New Zealand yang memberi perhatian dan pertolongan kepada mangsa yang terlibat.

Mujahid Yusof Rawa bersama abang salah seorang mangsa rakyat Malaysia. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa mewakili kerajaan pada solat Jumaat di Hagley Park South, Christchurch, New Zealand hari ini, seminggu selepas serangan ke atas 2 masjid yang meragut 50 nyawa.

Mujahid, yang berlepas ke Christchurch semalam berkata menerusi Facebooknya, bahawa beliau bertemu wakil kerajaan New Zealand dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Nur Izzah Wong Mee Choo, serta beberapa rakyat Malaysia yang tinggal di sana.

Beliau berterima kasih kepada kerajaan New Zealand yang memberi perhatian dan pertolongan kepada mangsa yang terlibat.

Rakyat Malaysia, Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17, merupakan salah seorang daripada 50 mangsa yang terkorban dalam serangan tersebut. Bapanya, Mohd Tarmizi Shuib, 42, serta 2 lagi rakyat Malaysia, Muhammad Nazril Hisham Omar and Rahimi Ahmad, cedera dalam insiden tersebut.

Mujahid berkata, masyarakat perlu belajar daripada insiden tersebut.

“Hari ini, ramai wanita New Zealand memakai skaf sebagai tanda solidariti dengan umat Islam dan keluarga mangsa,” katanya.

Laungan azan juga bersiaran secara langsung buat pertama kali menerusi media di New Zealand, hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.