Malaysia berhasrat jadi negara maju dalam 6 tahun, kata Dr M

Malaysia berhasrat jadi negara maju dalam 6 tahun, kata Dr M

Perdana menteri berkata, perubahan dalam kerajaan menyebabkan Malaysia tidak mungkin dapat mencapai matlamat menjadi negara maju menjelang 2020.

Dr Mahathir Mohamad disambut rakan sejawatannya, Imran Khan (2 dari kanan) setibanya di Pangkalan Tentera Udara Pakistan Nur Khan, Rawalpindi, sempena lawatan rasmi 3 hari beliau ke negara itu, bermula semalam. Turut hadir Timbalan Menteri Luar, Marzuki Yahya (kiri). (Gambar Bernama)
ISLAMABAD:
Malaysia dan negara Islam lain perlu berusaha untuk setanding negara maju, kata Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, Malaysia berpendapat terdapat ruang untuk memperluaskan kerjasama antara negara Islam.

“Hari ini, tidak ada satu pun negara Islam yang dianggap negara maju. Sebenarnya Malaysia mempunyai perancangan menjadi negara maju menjelang 2020, malangnya perubahan dalam kerajaan (pemimpin) menjadikannya tidak mungkin dapat dicapai.

“Bagaimanapun, kami masih berhasrat menjadi negara maju menjelang 2025. Kami berharap ini bukan hanya Malaysia,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan di sini, hari ini.

Mahathir memulakan lawatan kerja 3 hari ke Pakistan semalam.

Islamofobia

Mahathir berkata, negara Islam seperti Malaysia dan Pakistan perlu mencari cara menangani Islamofobia.

“Pakistan dan Malaysia memahami isu ini. Kami dapati kini terdapat kebimbangan dan (sentimen) anti-Islam dan itulah sebabnya kenapa 50 orang Islam terbunuh (di masjid Christchurch minggu lalu).”

Beliau berkata, insiden itu turut menyebabkan warga Pakistan dan Malaysia menjadi mangsa kerana kebencian dicetuskan media dan orang tertentu.

“Kita perlu belajar bagaimana mengatasi masalah ini. Ia tidak semestinya dengan melawan kita boleh menang. Pengalaman Malaysia ialah memenangi hati dan minda rakyat.”

Beliau berkata, Malaysia dan Pakistan boleh bekerjasama untuk meningkatkan persepsi positif terhadap umat Islam.

“Kita (Malaysia dan Pakistan) sentiasa berbincang mengenai keganasan. Ada cara yang boleh kita lakukan untuk mengurangkan kebimbangan, kemarahan dan kebencian terhadap orang Islam.”

Terdahulu, Pakistan memberi sambutan rasmi kepada Mahathir di Prime Minister’s House oleh Imran Khan semasa tiba di kediaman rasmi perdana menteri Pakistan itu.

Mereka kemudiannya mengadakan mesyuarat 4 mata, diiikuti mesyuarat delegasi Malaysia dan Pakistan.

Pada sebelah petang, Mahathir bakal dikurniakan anugerah “Nishan-e-Pakistan” atau Order of Pakistan”, anugerah tertinggi negara itu yang akan disampaikan Presiden Pakistan, Arif Alvi.

Lawatan Mahathir ke negara itu atas jemputan rakan sejawatannya untuk menghadiri sambutan Hari Pakistan, esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.