Kekalkan hukuman mati untuk jenayah ganas, kata bekas KPN

Kekalkan hukuman mati untuk jenayah ganas, kata bekas KPN

Hukuman mati perlu dikaji semula bagi menentukan jenayah mana patut dikenakan hukuman mandatori dan mana hukuman budi bicara.

(2 dari kiri) Bekas KPN Musa Hassan, adik Kevin Morais, Richard Morais, peguam Christina Teng dan Heng Zhi Li daripada Gabungan Membantah Penghapusan Hukuman Mati.
KUALA LUMPUR:
Satu kumpulan yang diketuai bekas ketua polis negara (KPN), Musa Hassan hari ini menggesa kerajaan supaya mengekalkan hukuman mati mandatori bagi jenayah yang mengakibatkan kehilangan nyawa.

Musa berkata, jika hukuman mati dijadikan hukuman mengikut budi bicara, hakim mungkin memilih mengenakan hukuman penjara kerana “kemungkinan besar mereka berasa bukan hak mereka menghukum mati seseorang”.

“Lebih susah bagi mahkamah untuk menjatuhkan hukuman mati ke atas penjenayah,” katanya pada sidang media di sini.

Beliau mencadangkan hukuman mati dikaji semula, bukannya dimansuhkan, bagi menentukan jenayah mana yang patut dikenakan hukuman mandatori dan yang mana boleh digunakan budi bicara.

“Saya setuju bagi jenayah yang tidak mengakibatkan kehilangan nyawa atau kecederaan yang mengancam nyawa, hukumannya boleh gunakan budi bicara,” katanya.

Beliau memberi contoh keldai dadah, yang menurutnya, tidak patut dihukum gantung kerana mereka bukan dalang.

Menurutnya, adalah susah bagi polis dan pendakwa membuktikan kes bunuh kerana ia memerlukan beban bukti yang berat.

Musa berkata, hukuman mati perlu dikaji semula, bukan dimansuhkan.

“Di Malaysia, tidak mudah mendapat bukti seseorang melakukan jenayah.

“Apabila jenayah dilakukan dan seseorang penjenayah mengaku melakukannya, kita tidak boleh gunakan pengakuan itu (kerana) mungkin dia takut diseksa atau pengakuan itu diperolehi dengan cara paksa.

“Hakim perlu periksa bagaimana pengakuan itu dibuat,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, mereka yang didapati bersalah mempunyai banyak ruang untuk merayu terhadap hukuman mati, termasuk melalui permohonan ampun daripada lembaga pengampunan.

“Ia tidaklah seperti mereka dijatuhi hukuman mati hari ini dan terus digantung keesokan hari,” katanya.

Musa berpendapat, memansuhkan hukuman gantung akan meningkatkan kadar jenayah kerana lebih ramai orang menjadi lebih berani untuk melakukan jenayah.

Beliau juga mendakwa kadar jenayah sebenarnya adalah lebih tinggi daripada angka yang disiarkan.

“Akan ada pembunuh upahan. Orang akan upah orang lain untuk membunuh kerana mereka tidak akan digantung.

“Di negara kita, ada kes pembunuh upahan. Jadi kita perlu berhati-hati.

“Kalau kita kenakan hukuman ringan, orang akan lakukan jenayah sewenang-wenangnya dan akan menjadi ancaman kepada rakyat dan negara kita,” katanya.

Musa memberi amaran tentang ancaman daripada pengganas dan golongan ekstremis dan pihak berkuasa mesti memperbaiki “teknik siasatan” mereka untuk mengelak menghukum orang yang tidak bersalah.

“Kalau kita mahu mansuhkan hukuman gantung, kita perlu pastikan bahawa kita mempunyai anggota polis yang cukup untuk melindungi keselamatan dan harmoni rakyat kita.

“Buat masa ini, peruntukan untuk polis tidak banyak. Saya terima aduan daripada pegawai yang beritahu saya sekarang kertas pun tidak cukup di balai polis.

“Kalau tidak beri bajet yang cukup, macam mana mereka nak jalankan tugas?” beliau bertanya.

Hukuman mati mandatori dikenakan ke atas 11 kesalahan jenayah, termasuk membunuh, mengambil tebusan dan terorisme.

Hukuman mati secara budi bicara sebaliknya boleh dijatuhkan mengikut budi bicara hakim. Pada masa ini 23 kesalahan, termasuk mengedar dadah dan pencemaran air boleh dijatuhi hukuman mati budi bicara.

Baru-baru ini, kerajaan dilaporkan mungkin tidak akan menghapuskan sepenuhnya hukuman mati seperti dicadangkan sebelum itu. Putrajaya berkata, ia turut menimbangkan pilihan lain, termasuk menggantikan hukuman mati bagi 33 kesalahan di bawah 8 akta dengan hukuman penjara seumur hidup.

Peguam Christina Teng dari Protect Malaysia berkata, hukuman penjara seumur hidup untuk jenayah ganas mungkin tidak memadai kerana hukuman boleh dikurangkan atas alasan belas kasihan.

Hukuman penjara seumur hidup, biasanya 30 tahun, boleh dikurangkan hingga ke 1/3 daripada kadar hukuman sekiranya banduan berkelakuan baik dalam penjara, kata beliau.

Pada masa ini, Malaysia tidak mempunyai sistem parol berserta hukuman penjara seumur hidup, yang mungkin menimbulkan risiko keselamatan awam sekiranya penjenayah tidak dipantau selepas mereka dibebaskan, katanya.

Teng juga mengkritik pihak yang menggesa supaya hukuman mati dimansuhkan, dengan berkata, mereka cenderung kepada “pandangan liberal” dan pendirian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Beliau mendakwa ia lebih menyokong hak dan perlindungan kepada penjenayah, berbanding mangsa.

“Kita tidak ikut PBB, mereka terlalu liberal. Kita tidak boleh bandingkan diri kita dengan negara Barat.

“Kita mesti tingkatkan pendidikan dan penguatkuasaan bagi mengurangkan kadar jenayah. Hanya lepas itu baru kita boleh bercakap tentang pemansuhan hukuman mati,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.